Polis rakam keterangan Azmin kes video intim

Azmin Ali - Foto Bernama
Azmin Ali - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Polis merakam keterangan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membantu siasatan berhubungan penularan video intim melibatkan seorang lelaki, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan individu mirip seorang menteri Kabinet semalam.

Peguam Mohamed Azmin, N Surendren berkata, anak guamnya memberi keterangan selepas dihubungi polis pada Ahad lalu.

"Terdapat tanda-tanda yang jelas mengenai percubaan yang teratur dan sistematik untuk menjatuhkan Mohamed Azmin dengan serangan fitnah dan berniat jahat.

"Pelakunya juga mempunyai akses kepada data peribadi ahli-ahli parti, cara yang teratur dan jelas menunjukkan ada agenda politik," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Surendren berkata, beliau berharap polis dapat mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dan mengheret mereka ke muka pengadilan.

"Kami polis akan memburu individu yang terlibat sehingga ke lubang cacing untuk mengheret mereka ke muka pengadilan," katanya.

Pada Jumaat lalu, Haziq dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dia ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semasa berada di terminal pelepasan antarabangsa untuk berlepas ke Manila, Filipina.

Artikel Berkaitan:

Haziq ditahan selepas mengaku sebagai individu bersama seorang lelaki mirip menteri Kabinet dalam video berkenaan.

Haziq kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas 24 jam ditahan bagi membantu siasatan.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed sebelum ini berkata, Haziq ditahan bagi membantu siasatan mengikut empat peruntukan seksyen. Sebelum ini Haziq digantung tugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin.