Kementerian Pendidikan cadang tambah kelas PPKI

Nie Ching (tiga dari kiri) semasa membuat lawatan di tapak pembinaan SMK Pulai Jaya hari ini.
Nie Ching (tiga dari kiri) semasa membuat lawatan di tapak pembinaan SMK Pulai Jaya hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan bercadang untuk menambah bilangan kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah arus perdana seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, setakat ini, terdapat 1,545 sekolah rendah (SR) yang mempunyai kelas PPKI dan sebanyak 830 sekolah menengah (SM) yang mempunyai kelas PPKI di seluruh negara.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, Johor memiliki sebanyak 271 untuk SR dan SM pula adalah 120 buah sekolah.

"Tambahan kelas PPKI di sekolah tertentu dapat memudahkan para ibu bapa menempatkan anak-anak mereka berdekatan dengan tempat tinggal masing-masing.

"Perkara ini memang menjadi hasrat kita untuk menambah kelas PPKI supaya kita boleh menampung lebih ramai pelajar berkeperluan khas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak projek pembinaan Sekolah Kebangsan (SK) Pulai Emas dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulai Jaya, di sini hari ini.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai memberitahu, kementerian bukan tidak mahu membina sekolah pendidikan khas.

"Tetapi, kita guna cara PPKI ini kerana mengikut kajian menunjukkan campuran pelajar kelas PPKI dan pelajar biasa lagi baik untuk kedua-dua kumpulan.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap sekurang-kurangnya setiap daerah mempunyai sekolah yang memiliki kelas PPKI ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SK Pulai Emas dan SMK Pulai Jaya dijangka dapat beroperasi pada 1 Julai tahun hadapan.

"Setakat ini, tahap pembinaan SMK Pulai Jaya telah 43 peratus manakala SK Pulai Emas telah 52 peratus.

"Pembinaan kedua-dua sekolah itu kerana keperluan mendesak berikutan pertambahan bilangan penduduk di kawasan sekitar," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, Pejabat Pendidikan Daerah Kulai mahu memohon pembinaan lima sekolah lagi membabitkan tiga SR dan dua SM.

"Pada masa kini terdapat seramai 55,000 membabitkan 62 buah SK dan 19 buah SMK di Kulai," katanya.