Keperluan asas orang asli Bateq penting: Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama ketika hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pandan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kejadian yang menimpa orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang menunjukkan kepentingan menyediakan keperluan asas kepada mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan perlu menangani masalah infrastruktur, kesihatan dan pendidikan di kawasan itu.

"Walaupun kita tahu bahawa cara hidup mereka berlainan dan itu pilihan mereka, namun menyediakan keperluan asas kepada mereka adalah penting dan satu tanggungjawab kepada kerajaan.

"Masalah kesihatan mesti diambil kira. Begitu juga masalah punca sumber air dan kebersihan persekitaran,” katanya ketika berucap di Majlis Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pandan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mengenai kejadian menimpa orang asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, baru-baru ini, yang didakwa dilanda penyakit misteri sehingga mengakibatkan sebilangan kematian.

Mengikut suku kaum itu berlaku 14 kematian dengan mangsa dikebumikan secara adat oleh penduduk kampung, tetapi polis memaklumkan hanya menerima dua laporan berkaitan kematian terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Wan Azizah pengerusikan mesyuarat tergempar isu Orang Asli