117 PATI warga Afrika ditahan polis

PATI Warga Afrika cedera selepas terjun dari tingkat tiga bangunan apartmen bagi mengelak diperiksa polis
PATI Warga Afrika cedera selepas terjun dari tingkat tiga bangunan apartmen bagi mengelak diperiksa polis
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 117 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Afrika ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Apartment Desa Aman Puri, Desa Jaya, Gombak dan Apartment Vista Millenium, Bukit Puchong, Subang Jaya hari ini.

Dalam operasi yang dilakukan selama 12 jam bermula 12 tengah malam tadi turut ditahan 14 PATI terdiri daripada warga Pakistan, Indonesia, Mynmar, Filipina dan Bangladesh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kesemua PATI ditahan berikutan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, tangkapan juga dibuat ke atas empat lelaki dan seorang wanita warga Nigeria di Apartment Desa Aman Puri yang disyaki terlibat dalam kegiatan Love Scam.

“Sebanyak tiga komputer riba dan enam telefon bimbit dirampas bagi membantu siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadzil berkata, dalam operasi ini, polis memeriksa sebanyak 61 unit rumah Apartment Desa Aman Puri manakala di Apartment Vista Millenium, sebanyak 33 unit rumah diperiksa.

“Ketika operasi seorang lelaki warga Nigeria mengalami kecederaan patah kaki apabila bertindak terjun dari tingkat tiga apartmen kediamannya bagi mengelak pemeriksaan polis. Suspek kini dirawat di Hospital Selayang,” katanya.

Fadzil menambah, operasi ini dilancarkan berikutan timbul masalah sosial dan jenayah dikalangan warga Afrika yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini di Selangor.

Artikel Berkaitan:

“Selain dari kegiatan sindiket penipuan, polis juga menerima laporan berlaku kejadian samun bersenjata parang dipercayai didalangi oleh warga Afrika.

“Sehubungan itu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor melancarkan operasi khas ini bagi mengesan dan mendapatkan maklumat mengenai kegiatan jenayah ini,” katanya.

Seramai 124 pegawai dan 412 anggota polis terlibat dengan operasi ini yang turut dibantu oleh JSJ Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara, Bukit Aman, Cawangan Pengangkutan dan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Jabatan Imigresen Selangor.