Bawa Ainul ke London bukan ikut ‘hawa nafsu’ - Bapa

Foto terkini yang dikongsikan Ahmad Safiuddin di laman Facebooknya bersama hantaran tersebut.
Foto terkini yang dikongsikan Ahmad Safiuddin di laman Facebooknya bersama hantaran tersebut.
A
A
A

LONDON - Tuduhan sesetengah pihak ke atas ibu bapa Ainul Mardhiah dengan membawa bayi 11 bulan itu ke London bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan sebagai mengikut ‘hawa nafsu’ dibidas sendiri bapa bayi tersebut, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24.

Beliau berkata, keputusan tersebut bukan mudah kerana perlu berhadapan dengan pelbagai risiko besar yang bukan untuk kepentingan diri tetapi demi masa depan bayinya itu sendiri.

“Selain pembedahan yang terlalu berisiko, untuk membawa Ainul ke sini juga adalah salah satu risiko yang besar perlu untuk Ainul tempuhi.

ARTIKEL BERKAITAN: Seronok lihat Ainul Mardhiah hisap jadi, luah ibu

“Jadi, jika kami dikatakan membuat keputusan untuk ke sini kerana mengikut hawa nafsu kami, maka tuduhan itu adalah tidak berasas kerana untuk membawa Ainul ke sini pun satu risiko yang besar buat dirinya,” katanya yang berkongsi hantaran terkini mengenai perkara itu di laman Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu kata Ahmad Safiuddin, tiga hari selepas bayinya itu tiba di London juga, Ainul terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) kerana jangkitan.

“Bacaan oksigennya dari 100 peratus turun ke 50 peratus serta merta, Ainul tiba-tiba jadi sesak nafas dan keluar darah dari mulutnya.

“Ya, mengikut kata doktor, Ainul kena infection (jangkitan) disebabkan perjalanan yang panjang dan berada lama di dalam kapal terbang. Keputusan Xray mendapati seluruh tubuh badannya dipenuhi virus (80 peratus putih) bermaksud dalam badannya tidak ada udara kerana telah dipenuhi virus,” kongsinya.

Bagaimanapun kata Safiuddin, dia dan isteri bersyukur setelah seminggu Ainul dirawat, bayinya itu menunjukkan maklum balas positif untuk melawan jangkitan dan akhirnya berjaya dilawan.

“Alhamdulillah, seminggu pertama Ainul betul-betul struggle lawan infection (jangkitan) berkenaan dan dia berjaya!,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada hantaran berbeza juga Ahmad Safiuddin ada berkongsi mengenai beberapa risiko yang menanti sebelum pembedahan dijalankan.

“Sebelum Ainul dibedah, doktor yang merawatnya pun tidak pasti sama ada boleh dibedah atau tidak walaupun kaedah pengimejan diagnostik (MRI) telah dibuat. Hal ini berlaku kerana kes Ainul ini terlalu complicated (sukar).

“Sehari sebelum hari pembedahan berlaku, doktor telah memberitahu tentang risiko-risiko yang sedia menanti Ainul antaranya hilang banyak darah, darah masuk ke paru-paru dan ketiga paling utama boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Biarpun berdepan dengan risiko besar, pada Isnin lalu, bayi comel Ainul telah berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram yang melibatkan sekumpulan doktor di sebuah hospital kanak-kanak di London.

Alhamdulillah keadaan Ainul Mardhiah juga seperti dikongsikan Ahmad Saifuddin semakin positif dari sehari ke sehari.