Imran Khan ucap terima kasih kepada Tun M

Tun Mahathir - FOTO BERNAMA
Tun Mahathir - FOTO BERNAMA
A
A
A

LONDON - Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan hari ini membuat panggilan telefon kepada Dr Mahathir Mohamad yang berada di sini bagi mengucapkan terima kasih atas sokongan Malaysia kepada usaha Pakistan mengelak daripada disenarai hitam oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF).

Perdana Menteri, yang berada di United Kingdom untuk kerja tiga hari, menerima panggilan telefon selama enam minit itu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Sokongan Malaysia dilihat amat penting dalam menyekat negara itu daripada disenarai hitam selepas India telah mengemukakan usul kepada FATF untuk menyenaraihitamkan negara tersebut bagi aktiviti pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan keganasan.

Hasil sokongan Malaysia, Pakistan kini mendapat sokongan daripada tiga negara.

Selepas menerima panggilan telefon dari Imran, Dr Mahathir memberitahu media Malaysia yang hadir di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini bahawa Malaysia menyokong Pakistan memandangkan negara itu telah memperhebatkan perang terhadap pengubahan wang haram.

"Kami memutuskan berdasarkan kedaulatan undang-undang. Bukan kerana kebencian. Kami mengaku bahawa pengubahan wang haram adalah masalah utama dan ia berlaku kerana dunia tanpa sempadan yang membolehkan pengaliran bebas modal," katanya sambil menambah bahawa oleh yang demikian, tidak ada gunanya menyenaraihitamkan mana-mana negara tertentu.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa aliran bebas modal telah menjejaskan negara-negara lain, termasuk Malaysia apabila kaum kapitalis telah melabur sejumlah besar wang dalam pasaran saham yang menyebabkan harga saham melonjak.

"Pada akhirnya, mereka menjual saham mereka untuk mengaut keuntungan dan memperoleh balik modal dan pendapatan mereka sehingga menjejaskan negara-negara yang mereka melabur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menyentuh mengenai ironi perang perdagangan, apabila dunia pada satu pihak mempromosikan perdagangan dan pada satu pihak lain pula mengenakan sekatan.

“Akhirnya, banyak negara yang tidak bersalah seperti Malaysia turut terjejas. Justeru, walaupun kami tidak mempunyai masalah dengan Iran, kami tidak dapat berdagang dengan negara itu akibat sekatan yang dikenakan. Perang perdagangan dengan China juga memberi kesan kepada kami,” kata beliau.

Sementara itu, selepas Dr Mahathir menerima panggilan telefon dari Imran, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu pemberita bahawa dengan sokongan Malaysia, Pakistan mendapat sokongan dari tiga negara dengan dua negara lagi ialah China dan Turki, dan oleh itu, negara tersebut tidak lagi boleh disenarai hitam.- Bernama