Jumlah pesakit orang asli terima rawatan meningkat

Dr Zaini Hussin
A
A

GUA MUSANG- Jabatan Kesihatan Kelantan mengesahkan jumlah pesakit orang asli suku kaum Bateq yang menerima rawatan meningkat kepada 112 kes sehingga tengah malam tadi.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, peningkatan sebanyak sembilan kes dicatatkan berbanding 103 pesakit Khamis lalu.

"Daripada jumlah berkenaan, 48 pesakit ditempatkan di wad biasa, empat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu tiga di Hospital Kuala Krai (HKK) dan seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Seramai 19 lagi pesakit ditempatkan di Rumah Inap Orang Asli (RIKA) Hospital Gua Musang, manakala selebihnya, iaitu 41 lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, jumlah berkenaan hanya melibatkan dua kematian dan tidak termasuk 12 kematian orang asli suku Bateq yang tidak dilaporkan.

Media sebelum ini melaporkan 13 orang asli suku kaum Bateq dari Kuala Koh meninggal dunia dipercayai akibat radang paru- paru.

Bagaimanapun, hanya dua kematian dilaporkan manakala selebihnya dikebumikan mengikut cara adat kaum berkenaan.