PPS Kem PLKN Etnobotani lengkap kemudahan rawatan: NADMA

Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Azizan Abu Taat (tengah) bersama Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Gua Musang Ahmad Izanuddin Huzaizi (kiri) meninjau persiapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan Orang Asli suku Batek yang telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini. - Foto Bernama
Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Azizan Abu Taat (tengah) bersama Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Gua Musang Ahmad Izanuddin Huzaizi (kiri) meninjau persiapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan Orang Asli suku Batek yang telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di sini, yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan orang asli suku Bateq yang telah dibenarkan keluar dari hospital, lengkap dengan segala kemudahan termasuk bilik rawatan.

Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Azizan Abu Taat berkata, Kementerian Kesihatan akan menempatkan pasukan perubatan di PPS berkenaan bagi memantau perkembangan kesihatan orang asli yang ditempatkan di kem tersebut.

"Kem ini mempunyai 23 blok (termasuk asrama) yang boleh menempatkan kira-kira 400 orang pada satu-satu masa dan kita akan pastikan kem ini mencapai sekurang-kurangnya mencapai standard minimum untuk penempatan mangsa di Kuala Koh.

"Kita jangka tak akan menghadapi banyak masalah di kem ini kerana persiapan dibuat dengan begitu rapi dan bersedia pada bila-bila masa untuk menerima kumpulan pertama orang asli yang dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui pemberita di kem berkenaan di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan sebagai berkata, Kem PLKN Etnobotani akan digunakan sebagai PPS bagi menempatkan orang asli yang telah dibenarkan keluar dari hospital untuk pemantauan tahap kesihatan mereka.

Azizan berkata, NADMA kini hanya menunggu pengesahan daripada pihak hospital untuk kumpulan pertama orang asli yang akan ditempatkan di PPS tersebut.

"Kita juga ada kumpulan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menasihatkan orang asli yang telah dibenarkan keluar dari hospital untuk kekal di PPS sehingga keadaan di Kampung Kuala Koh benar-benar pulih," katanya.

Masyarakat orang asli suku Bateq mula menjadi perhatian selepas 14 daripada mereka dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan penyakit yang masih belum diketahui puncanya walaupun dua daripada mayat yang telah dibedah siasat disahkan mengidap radang paru-paru (pneumonia).

Artikel Berkaitan:

Sehingga 13 Jun, seramai 103 orang asli telah menerima rawatan membabitkan 56 pesakit luar, 42 ditempatkan di wad biasa dan lima di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Daripada jumlah tersebut, ia membabitkan 50 lelaki dan 53 perempuan, melibatkan 53 kanak-kanak di bawah 12 tahun dan 52 pesakit dewasa. - Bernama