Bongkar kegiatan judi online di sebalik rumah kedai

Antara bentuk perjudian online yang ditawarkan di premis haram terletak di Taman Desa Petaling Cheras, Kuala Lumpur yang berjaya dibongkar polis, kelmarin.
Antara bentuk perjudian online yang ditawarkan di premis haram terletak di Taman Desa Petaling Cheras, Kuala Lumpur yang berjaya dibongkar polis, kelmarin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah rumah kedai di Taman Desa Petaling Cheras, di sini, yang dijadikan sebagai premis perjudian online digempur polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, operasi diketuai Ketua Polis Balai Salak Selatan Baru bersama anggota dijalankan pada jam 9.30 malam hasil maklumat dan risikan.

Katanya, serbuan di tingkat satu premis berjaya menahan empat lelaki berusia lingkungan 47 hingga 53 tahun termasuk seorang warga Bangladesh yang berperanan sebagai penjaga premis.

"Serbuan membawa rampasan 10 set komputer riba, satu unit tablet, dua unit modem serta wang tunai RM200.

"Siasatan awal mendapati premis ini telah beroperasi sejak kira-kira dua minggu lalu dan dibuka bermula jam 9.30 pagi sehingga jam 9.30 malam," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mengulas modus operandi premis itu, Mohamed Mokhsein berkata, mereka mengiklankan kegiatan perjudian selain berhubung terus dengan pelanggan yang juga terdiri daripada pelanggan lama.

Tambahnya, pelanggan perlu membayar secara tunai sebelum diberikan kredit yang akan dimasukkan ke dalam komputer riba yang telah disediakan untuk pelanggan di dalam premis bagi memulakan permainan perjudian online.

"Kita juga percaya sasaran pelanggan kebanyakannya terdiri daripada pelanggan tetap sebelum dibenarkan masuk bermain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akya Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.