Dr Mahathir lawat UK tiga hari

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom (UK) mulai 15 Jun di mana beliau antara lain dijadualkan berucap di Cambridge Union.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, Dr Mahathir akan menyampaikan syarahan bertajuk “Demokrasi di Malaysia dan Asia Tenggara” di Cambridge Union pada 16 Jun, yang dijangka menarik kehadiran personaliti dan ahli akademik terkemuka di UK selain para penuntut institusi pengajian tinggi.

Menurut Wisma Putra, Dr Mahathir dijadual mengadakan pertemuan dengan para pelajar dari Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire (UKEC) selain rakyat Malaysia yang menetap di UK pada satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang akan dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Dr Mahathir juga akan menghadiri mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Human Life Advancement (HLAF). HLAF yang ditubuhkan pada 2011 itu adalah sebuah pertubuhan antarabangsa yang aktif dalam bidang pendiidkan, pemindahan teknologi dan pembangunan lestari.

“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Malaysia untuk menarik pelaburan asing, perdana menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan para pemain dan pelabur utama industri di UK bagi meneroka bidang-bidang kerjasama dan memperkukuhkan hubungan perdagangan dua hala,” menurut Wisma Putra.

Sejak 10 tahun lepas, jumlah perdagangan antara Malaysia dan UK telah mencatat kadar pertumbuhan dua peratus setahun dengan perdagangan dua hala tahunan bernilai RM12 bilion hingga RM17 billion, katanya.

Wisma Putra berkata, lawatan kerja itu akan memastikan hubungan persahabatan antara Malaysia dan UK kekal kukuh demi kebaikan kedua-dua negara.

Dr Mahathir akan diiringi isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan para pegawai kanan kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: