Tiga lagi mayat orang asli ditemukan

Hasanuddin Hassan
A
A

KOTA BHARU - Tiga lagi mayat ditemukan semalam dipercayai antara 12 orang asli yang disemadikan mengikut adat di Kuala Koh, akibat penyakit misteri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dua mayat lelaki dan seorang perempuan itu ditemui kira-kira jam 4.30 hingga 5.00 petang semalam selepas penemuan rangka pertama di kawasan berkenaan.

Menurutnya, mayat tersebut dikenal pasti sebagai Safiah Papan, 18, Jais Keladi, 55, Fayah Papan, 19 dan rangka pertama yang ditemui semalam adalah milik Din Hamdan, 18.

“Mayat-mayat berkenaan ditemukan sekitar 600 meter dari khemah penempatan mereka. Mayat berkenaan diletakkan di atas pokok dan ditutup dengan tikar mengkuang.

“Penemuan tersebut selain dibantu pihak berkaitan ia juga dapat dikesan berpandukan pertolongan daripada ahli keluarga orang asli terbabit yang arif dengan keadaan hutan di sana,” katanya kepada media hari ini.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Dengan penemuan terbaharu itu, ia menjadikan kesemua empat mayat sudah ditemui dan tujuh lagi masih dikesan.

Hasanuddin berkata, mayat berkenaan berkemungkinan akan dikeluarkan hari ini untuk tindakan selanjutnya.

“Kita tidak boleh keluarkan begitu sahaja sebab ini melibatkan Orang Asli Bateq. Mereka ada ritual kaumnya sendiri, kita kena jaga dan hormati adab,” katanya.

Sebagaimana dimaklumkan semalam di Gua Musang, Hasanuddin berkata, operasi pencarian hari kedua hari ini masih tidak menggunakan khidmat anjing pengesan kerana kepakaran yang dimiliki oleh orang asli di sana sudah dapat membantu mencari kedudukan mayat.

Bagaimanapun beliau bimbang sekiranya ahli keluarga tidak mengingati kedudukan sebenar mayat-mayat berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN Mayat orang asli depan mata