Chong Wei dilantik CDM Olimpik Tokyo 2020

Chong Wei dilantik sebagai CDM Olimpik Tokyo 2020 pada sidang media berita persaraannya dari sukan badminton sebentar tadi. - Foto Bernama
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan pelantikan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai Chef De Mission (CDM) Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Perkara itu disampaikan selepas Chong Wei, 36 mengumumkan berita persaraannya dari arena badminton selepas 19 tahun menabur jasa dalam sukan ini.

Jelas Syed Saddiq, pemilihan itu adalah tepat dalam usaha untuk memberi inspirasi kepada semua atlet negara yang bakal bertanding di temasya sukan terbesar dunia itu.

"Selepas berbincang dengan Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Seri Norza (Presiden BAM dan MOM) sebelum raya tempih hari, kami membuat keputusan untuk melantik Datuk Lee sebagai Chef De Mission Olimpik Tokyo 2020.

"Ini sebagai satu penghargaan buat wira negara ini selain kita juga percaya dia mampu memberi inspirasi kepada atlet-atlet muda yang akan beraksi di temasya sukan itu," katanya.

Pada masa sama, Syed Saddiq turut memberi bayangan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah merangka satu perancangan bersama Datuk Lee Chong di masa akan datang.

"Kita ada perancangan bersama, tetapi kami mahu beri masa dahulu kepada Datuk Lee Chong Wei dan keluarga. Apabila tiba masanya nanti, kami akan maklumkan perkara ini bersama," katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq turut merakamkan ucapan penghargaan mewakili seluruh rakyat Malaysia di atas jasa-jasa yang telah dicurahkan Chong Wei sepanjang 19 tahun mewarnai sukan bulu tangkis ini.

"Anda adalah hero saya, hero seluruh rakyat Malaysia. Kita bangga mempunyai individu bernama Lee Chong Wei.

"Saya percaya walaupun beliau memilih untuk bersara, namun, roh perjuangan yang ada dalam dirinya tidak akan pernah padam," ujarnya.