Mapim ajak umat Islam sedunia pertahan hak Malaysia

Mohd Azmi (kiri) ketika berbincang dengan Dr Zakir dalam sebuah majlis yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.
Mohd Azmi (kiri) ketika berbincang dengan Dr Zakir dalam sebuah majlis yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyokong pendirian kerajaan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik yang cuba diusahakan kerajaan India melalui mahkamah.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, seluruh umat Islam digesa bersatu mempertahankan hak kerajaan Malaysia tidak ekstradisi Dr Zakir walaupun India cuba menggunakan saluran Interpol.

“Ini kerana Dr Zakir ialah intelektual Islam diiktiraf dunia malah hujah dan syarahan beliau tidak mempunyai unsur menghasut atau menghina agama lain seperti didakwa.

“Dibimbangi Dr Zakir bukan mahu diadili di mahkamah India tetapi mahu menahan dan tidak membenarkan beliau menyampaikan dakwah di negara itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Azmi berkata, kelompok ekstremis agama bawah pengaruh pertubuhan berfahaman nasionalis dan ekstremis Hindu, RSS berterusan menekan supaya tindakan diambil terhadap Dr Zakir.

“Terbaru atas dakwaan pemindahan wang haram sebagai tuduhan. Inilah sebab Dr Mahathir berpendirian Dr Zakir tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah India.

“Dr Zakir berkali-kali jelaskan semua prosedur kewangan beliau sangat telus. Tiada apa yang diselindung dengan menyerahkan dokumen aliran kewangan termasuk bayaran cukai kepada pihak berwajib India,” katanya.

Menurutnya, apa yang dikhuatiri ekstremis agama di India adalah ketidakupayaan mereka menyekat pengaruh Dr Zakir yang mempunyai jutaan pengikut.

Artikel Berkaitan:

“Beliau tidak berdepan masalah sebelum kerajaan Bharatiya Janata Party (BJP) memerintah, malah tuduhan beliau menghasut ke arah keganasan gagal dibuktikan

“Kami harap Malaysia tidak tunduk kepada tekanan India dan membenarkan Dr Zakir terus berada di negara ini selagi beliau tidak menyalahi undang-undang Malaysia,” katanya.

Mohd Azmi kesal kerana India bersungguh-sungguh mahu menahan Dr Zakir sedangkan beliau tidak melakukan sebarang jenayah.

"Sehingga kini, India masih gagal meminta Interpol meletakkan Dr Zakir dalam senarai merah kerana tiada bukti kukuh. Apa keuntungan diperoleh India untuk menyekat pemikiran beliau yang diterima dan dihormati umat Islam?

"Dari aspek mana dikatakan Dr Zakir mengancam keselamatan India, padahal keganasan di India seperti serangan di Mumbai 1993 tidak dapat dibuktikan akibat pengaruh Dr Zakir,” katanya.

Menurutnya, siri serangan dan sasaran terhadap Muslimin di seluruh India adalah akibat daripada kempen membenci Islam dan Muslim yang berleluasa di negara itu.

“Pemimpin kerajaan BJP secara terang-terangan menyatakan kebencian terhadap minoriti Muslim di India, terbaru pada pilihan raya 2019.

“Kami beranggapan pandangan fanatik nasionalis Hindu yang mempengaruhi kerajaan India yang kini memburu beliau,” katanya.