Inkues Adib: Akhirnya Syazlin bersuara

Peguam, Syazlin Mansor bercakap pada sidang media bertempat di Majlis Perundingan Melayu, Jalan Ledang Off Jalan Duta. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

[DIKEMASKINI] BEKAS peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor dalam inkues kematian anggota bomba dan penyelamat (JBPM), Muhammad Adib Mohd Kassim akhirnya bersuara setelah lebih dua minggu menarik diri menjadi pihak-pihak berkepentingan dalam inkuri tersebut.

Ikuti transkrip penuh sidang media Syazlin untuk menjelaskan semula isu berbangkit yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini:

"SAYA berhak untuk menerangkan keadaan dan menutup sebarang spekulasi tidak berasas terhadap saya mahupun suami, Ahmad Soffian Mohd Shariff. Saya rasakan rakyat berhak mengetahui sebab sebenar penarikan diri saya.

Pada awalnya setelah Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia, kes diklasifikasikan sebagai bunuh oleh polis dan Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin telah melantik saya sebagai peguam pemerhati dalam perbicaraan jenayah.

Saya juga turut dilantik oleh keluarga arwah sebagai peguam pemerhati bagi mereka. Malangnya tiada perbicaraan jenayah dijalankan dan Peguam Negara, Tommy Thomas memutuskan untuk membuat prosiding inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Oleh itu saya dilantik oleh pihak-pihak yang sama untuk mewakili mereka dalam prosiding tersebut. Pada tarikh pengurusan kes pada 18 Januari lalu, saya maklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa saya mewakili keluarga, KPKT dan JBPM.

Pada tarikh itu keluarga arwah diterima masuk sebagai pihak-pihak berkepentingan dan saya kemudiannya membuat hujahan agar KPKT dan JBPM diterima masuk. Tiada bantahan dibuat oleh Pegawai Pengendali Inkues dan Koroner telah membenarkan KPKT dan JBPM menjadi pihak berkepentingan.

Ia penting untuk dinyatakan bahawa daripada awal sehinggalah tarikh Tommy menulis surat kepada Zuraida baru-baru ini, tiada bantahan dibuat oleh pegawai pengendali mengenai pelantikan saya dan fakta bahawa saya tidak boleh mewakili ketiga-tiga pihak.

Saya merasakan ia pelik bahawa apabila saya mula menyoal teori Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan membawa saksi Pakar Perunding Kanan Forensik Patologi United Kingdom, Professor Dr Shahrom Abd Wahif untuk membantu inkues, isu konflik kepentingan dan pelantikan saya baru dibangkitkan.

Walhal ia merupakan kewajipan dan tanggungjawab saya sebagai peguam yang mewakili pihak-pihak berkepentingan dalam membantu mahkamah untuk mendapatkan kebenaran atau membuat dapatan apakah paling mungkin boleh berlaku ke atas arwah Muhammad Adib yang menyebabkan kematiannya.

Kronologi peristiwa yang terjadi juga pada pandangan saya jelas menunjukkan bahawa ada cubaan untuk mengacau ganggu prosiding inkues ini terutamanya dalam hal berkaitan keterangan yang dikemukakan oleh Dr Shahrom.

Selanjutnya saya merujuk kepada kenyataan media Tommy yang bertarikh 28 Mei di mana beliau menyatakan empat sebab mengapa KPKT diarah untuk menamatkan perkhidmatan saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Negara beri empat sebab Syazlin diarah tarik diri

Saya rasakan bahawa kenyataan tersebut mempersoalkan pertimbangan profesional dan integriti saya sebagai peguam. Tambahan saya merasakan empat alasan tersebut tidak berasas sama sekali. Justeru saya ingin menjawab empat alasan tersebut satu persatu.

Dakwaan tiada fiat (kelulusan bertulis AG)

Saya merujuk kepada Seksyen 379 Kanun Tatacara Jenayah yang menjelaskan bahawa fiat hanya diperlukan sekiranya saya dilantik untuk mengendalikan prosiding inkues. Seperti mana sedia maklum, prosiding dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya (TPR) yang bertindak sebagai pegawai pengendali. Oleh itu saya tidak memerlukan fiat. Melantik seorang peguam dan bukannya TPR adalah tindakan jelas Zuraida mahukan kebenaran dalam inkues.

Sekiranya KPKT dan JPBM diwakili oleh TPR dari awal lagi sudah tentu Dr Shahrom tidak akan dipanggil sebagai saksi dan beberapa bukti material yang membantu kes ini tidak akan timbul.

Apakah fungsi inkues sekiranya semua pihak bersetuju dan tidak boleh mempersoalkan hasil dapatan dan teori yang dibuat pakar HKL?

Dakwaan kononnya wujud konflik kepentingan

Saya ingin menegaskan bahawa tiada konflik kepentingan kerana tidak pernah timbulnya isu untuk keluarga menyaman KPKT dan JBPM. Ini adalah kerana teori arwah dilanggar oleh bomba merupakan teori yang tidak berasas, yang mana, teori tersebut dibuat oleh pihak yang tidak terlibat dengan prosiding.

Ini juga bukan teori yang telah dibuat oleh pakar HKL. Oleh itu, tiada asas untuk keluarga mempercayai bahawa arwah dilanggar oleh bomba.

Dalam keterangan di Mahkamah juga, ayah arwah Muhammad Adib sendiri menyatakan bahawa Adib gembira apabila menerima kunjungan daripada rakan-rakan anggota yang turut bertugas bersama beliau pada malam kejadian, sewaktu Muhammad Adib terlantar di hospital.

Sekiranya Muhammad Adib benar-benar dilanggar oleh rakan-rakan beliau ini, adakah dia akan gembira menerima kunjungan mereka di hospital?

Saya ingin menegaskan bahawa keluarga arwah dan JBPM berkongsi pendapat yang sama dan menolak teori yang dibuat oleh pakar HKL. Keluarga arwah dan JBPM tidak pada bila-bila masa berada dalam keadaan kepentingan yang bertentangan.

Saya percaya perkara ini juga telah disahkan oleh keluarga arwah Adib sepertimana yang dilaporkan oleh media.

Peranan aktif dan sering mengambil kedudukan bercanggah dengan pegawai pengendali

Pertamanya, saya mewakili pihak-pihak berkepentingan. Adalah menjadi tugas saya sebagai peguam mewakili pihak-pihak berkepentingan untuk mengambil peranan aktif, dalam membantu Mahkamah Koroner dalam menyiasat apakah yang paling mungkin boleh berlaku ke atas arwah Adib yang menyebabkan kematiannya. Keduanya, mengapakah TPR yang merupakan pegawai pengendali Inkues telah mengambil kedudukan? Bukankah pegawai pengendali Inkues sepatutnya bersifat neutral, tidak mengambil sebarang kedudukan?

Ini jelas menunjukkan bahawa sepatutnya tugas mereka adalah untuk mengendalikan sahaja inkues. Saya selaku peguam pihak-pihak berkepentingan pula boleh mengambil kedudukan atau pendirian mengikut arahan anak-anak guam saya, yang mana anak-anak guam saya tersebut mempunyai kepentingan langsung di dalam Prosiding Inkues ini.

Tambahan lagi, sewaktu di peringkat pengurusan kes pegawai pengendali telah bertanyakan saya apakah kedudukan KPKT, JBPM dan keluarga arwah yang akan diambil di dalam Prosiding Inkues ini.

Saya dengan jelasnya telah menyatakan bahawa pihak-pihak berkepentingan ini tidak setuju sama sekali dengan teori pakar HKL dan percaya terdapatnya unsur jenayah yang menyebabkan kematian arwah.

Perkara ini juga boleh disahkan oleh pasukan peguam yang turut mewakili keluarga arwah. Oleh itu, saya terkejut kenapa Tommy seolah-olah tidak tahu kedudukan yang diambil oleh pihak-pihak berkepentingan ini.

Pihak-pihak di dalam sesebuah inkues berhak mengemukakan sebarang bukti dan keterangan yang mana dapat membantu Mahkamah dalam menentukan sebab kematian arwah, seperti yang dinyatakan di dalam Seksyen 328 dan 337 Kanun Tatacara Jenayah.

Suami sebagai Setiausaha Akhbar Zuraida

Apakah isunya di sini? Ia jelas sedari awal lagi bahawa saya mewakili pihak-pihak berkepentingan secara Pro Bono. Pegawai pengendali juga dari awal tahu berkenaan hal ini.

Apakah yang cuba dinyatakan oleh Tommy apabila beliau mengaitkan jawatan yang dipegang oleh suami saya? Saya percaya ini adalah suatu tindakan yang berniat jahat untuk memburukkan nama baik saya dan juga suami saya.

Adakah salah bagi saya, seorang peguam, ingin membantu keluarga arwah dan bomba secara Pro Bono? Ingin juga saya tekankan bahawa saya merupakan peguam kes jenayah dan firma guaman saya hanya mengambil kes-kes jenayah sahaja.

Saya amat terkilan apabila Tommy mengheret suami saya di dalam isu ini. Pada tarikh 27 Mei 2019, iaitu pada tarikh saya menarik diri daripada prosiding inkues, saya ada bertanyakan kepada Pegawai

Pengendali Inkues Faten Hadni Khairuddin kenapakah baru sekarang Tommy mempersoalkan pelantikan saya dan ingin menyingkirkan saya sebagai peguam yang mewakili KPKT dan JBPM. Bukankah dari awal lagi Peguam Negara maklum saya mewakili KPKT, JBPM dan keluarga?

Faten Hadni menyatakan bahawa memang benar Tommy tahu dari awal hal ini, tetapi tidak membuat sebarang bantahan kerana beliau berpendapat saya akan membantu inkues ini dan bertindak secara bona fide (niat baik).

Saya kemudiannya mempersoalkan bilakah masa Tommy berpendapat bahawa saya tidak membantu inkues dan bertindak dengan mala fide (niat jahat)?

Faten Hadni menyatakan apabila saya sentiasa bercanggah dengan kedudukan yang diambil oleh pegawai pengendali dan apabila saya mempersoalkan teori pakar HKL.

Perkara ini boleh disahkan oleh peguam-peguam yang mewakili keluarga arwah, yang hadir pada tarikh berkenaan kerana mereka mendengar sendiri soalan-soalan saya dan jawapan yang dijawab oleh Faten Hadni.

Saya berharap kenyataan yang saya keluarkan hari ini (semalam) akan dapat menjawab persoalan dan kekeliruan yang sedang tular dalam kalangan masyarakat. Dengan ini juga ingin memaklumkan bahawa saya akan terus mewakili keluarga arwah di dalam prosiding Inkues tersebut.”