Banyak kajian bukti media sosial punca isu kesihatan

A
A

Berita buruk kepada mereka yang terlalu obses dengan teknologi interaktif

BARANGKALI sukar untuk menafikan bahawa gajet dan media sosial merupakan fokus utama dalam kalangan hampir semua anak muda zaman ini.

Instagram, Twitter mahupun Facebook sememangnya bikin ketagihan ramai orang lantaran platform komunikasinya yang interaktif, bebas dan rangkaiannya melangkau segenap benua.

Namun, berdasarkan pemerhatian, penggunaan media sosial dalam kalangan mereka yang mengalami kemurungan sangat berbahaya. Begitu juga dengan meletusnya banyak kes pembulian secara siber yang semakin dibimbangi di negara ini sejak kebelakangan ini.

Menurut Presiden International Association for Suicide Prevention, Prof Ella Arensmen, pembulian media sosial kini berada pada tahap melampau dan mendatangkan impak negatif yang besar.

Antaranya ialah mewujudkan penyakit-penyakit mental yang sebelum ini belum pernah didengari. Paling menakutkan, ramai dalam kalangan kita tidak menyedari terkena 'sindrom' berkenaan.

Apakah ciri-cirinya? Adakah anda salah seorang yang tergolong dalam kelompok individu yang obses dengan teknologi?

Adakah benar inovasi itu mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan? Berbaloikah seseorang itu terlalu bergantung hingga menjadi 'hamba' kepada media sosial?

Sempena Sambutan Hari Media Sosial Sedunia, Sihat:Aktif mengupas isu yang terus menjadi pendebatan sehingga ke hari ini.

Medium membunuh

HANYA disebabkan pengaruh dengan keputusan majoriti rakan-rakan di media sosial, seorang remaja di Batu Kawa, Kuching, Sarawak memilih menamatkan riwayatnya.

Itu bukan satu cerita rekaan sebaliknya satu kes benar yang berlaku pada 13 Mei lalu.

Berdasarkan laporan media tempatan, remaja 16 tahun itu telah 'merealisasikan' pilihan netizen yang mengundinya untuk 'mati'.

Dengan pemikiran yang kurang waras, mangsa didakwa nekad terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan rumah kedai.

Segalanya dipercayai bermula apabila gadis muda itu telah membuat satu undian dalam laman Instagramnya dengan status ‘Really important, help me choose D/L’. D bermaksud die (mati) dan L merujuk live (hidup).

Selepas undian final dibuat, 69 peratus rakan Instagramnya memilih D manakala 31 peratus lagi memilih L. Sebelum kejadian, mangsa juga dikatakan sempat membuat catatan di Facebook, 'Wanna Quit Life I’m Tired'.

Tragedi itu sangat mengharukan. Sungguh menyedihkan melihat seorang pelajar yang masih mentah membuat kesimpulan mudah untuk meragut nyawanya dengan hanya satu pungutan suara di media sosial.

Keputusan hidup matinya hanya dipertimbangkan melalui alam maya. Menilai kes berkenaan, masyarakat melabelkan betapa media sosial telah dijadikan satu 'medium' untuk membunuh!

Sememangnya, maklumat yang dicatatkan dalam Wikipedia ada kebenarannya. Antara yang tertulis, media sosial dan bunuh diri merupakan fenomena baharu yang mempengaruhi tingkah laku dan antara penyebab utama kematian di seluruh dunia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula meramalkan, kira-kira 1.53 juta orang akan mati akibat bunuh diri pada tahun 2019 disebabkan faktor serupa.

Jangkaan itu dibuat lantaran analisis terhadap penggunaan media sosial yang mempengaruhi dan berjaya mengubah kehidupan masyarakat terutama remaja.

Pada zaman milenial, kita lihat internet ibarat isi dan kuku dalam diri seorang manusia.

Jika penggunaannya kena pada caranya, tiada masalah. Namun, jika inovasi yang telah memudahkan kehidupan disalah gunakan, tidak mustahil ia berupaya merosakkan mental dan emosi seseorang. Persoalannya, manusia memanipulasi teknologi atau teknologi yang telah memanipulasi manusia?

Signal bahaya

Ketua Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia, Mohd Redzuan Zamberi berkata, kejadian gadis yang meragut nyawa sendiri akibat 'undian maut' itu menunjukkan betapa pengaruh media sosial terhadap konsep diri dan tahap kesihatan mental khususnya remaja perlu dipandang serius.

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan

"Kejadian itu meninggalkan satu signal merbahaya kepada negara. Di Malaysia kini, seawal usia 12 tahun ramai yang telah memiliki telefon pintar sendiri.

"Mereka juga dilihat melanggan pakej internet untuk memudahkan proses melayari alam maya untuk bersosial dalam jaringan tanpa sempadan. Corak sosial ini bukan sahaja telah mengubah dunia hari ini malah telah mengubah personaliti bersosial seseorang daripada bersifat ekstrovet kepada introvert," katanya yang bimbang kes buli siber boleh sampai ke peringkat membunuh, bunuh diri, ancaman bunuh, dendam dan kemurungan yang seringkali berlaku di negara Barat.

Mengulas lanjut kes yang berlaku di Sarawak itu, Mohd Redzuan berkata, jika dilihat dari sudut psikologi, kemungkinan besar remaja itu menghadapi tekanan melampau.

"Pengaruh netizen di laman Instagram mungkin pemangkin untuk remaja itu melakukan perkara yang telah difikirkannya. Sebenarnya, media sosial sangat bahaya kepada golongan yang mempunyai masalah kemurungan atau memiliki tahap pemikiran yang tidak rasional.

"Pengaruh undian atau sokongan media sosial telah dianggap sebagai benar yang harus diikut," ujarnya.

Masalah mental

Pakar Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria turut melontarkan pandangan mengenai kesan media sosial terhadap masyarakat.

Dr Rozanizam
Dr Rozanizam

Katanya, penggunaan gajet dan media sosial secara berlebihan bukan sahaja menyebabkan masalah mental malah semakin banyak kajian saintifik telah menunjukkan perkaitannya dengan kes-kes kemurungan, keresahan melampau (anxiety disorder) dan perilaku impulsif.

"Banyak kajian hari ini termasuk di Malaysia menunjukkan responden banyak menggunakan media sosial dan gajet mengalami kadar stres yang tinggi.

"Masalah mental biasanya tidak berlaku disebabkan satu faktor tertentu sahaja. Ia lazimnya berlaku disebabkan pelbagai faktor yang berinteraksi antara satu sama lain (multifaktorial)," katanya kepada Sihat:Aktif baru-baru ini.

Kepada satu soalan, Ahli Jawatankuasa Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia itu berkata, tiada kesepakatan dalam kalangan pengkaji mengenai durasi selamat seseorang boleh 'mengadap' media sosial.

"Ada pandangan umum yang mengatakan harus kurang dari dua jam dalam sehari. Namun, apa lebih penting sebenarnya ialah sejauh mana penggunaannya memberi kesan kepada kehidupan. "Apabila dirasakan sudah mula memberi kesan negatif, ketika itulah kita perlu mula mengawal diri," katanya.

Jelas beliau, terdapat banyak teori yang membincangkan tentang perkaitan antara penggunaan media sosial yang berlebihan dengan masalah mental. Antaranya ialah:

1 Pendedahan kepada masalah gangguan secara maya seperti buli siber.

2 Teori behavioural displacement yang mana masa berlebihan di media sosial menyebabkan semakin berkurangnya gaya hidup sihat (bersukan, berekreasi dan bersosial).

3 Fenomena fear of missing out. Lazimnya berlaku dalam kalangan remaja di media sosial yang menyaksikan mereka sentiasa terdedah kepada tekanan untuk sentiasa mengikuti trend terkini. Ini secara tidak langsung boleh menyumbang kepada tekanan sosial, rasa rendah keyakinan diri dan kemurungan.

4 Teori social displacement. Persahabatan maya telah menggantikan persahabatan realiti. Akibatnya ramai yang hilang kemahiran bersosial dan sokongan sosial yang diperlukan dalam keadaan seseorang itu mengalami tekanan hidup.

Pun demikian, tiada kriteria yang spesifik (dalam bidang perubatan) bagi mendefinisikan masalah ketagihan media sosial, kata Dr Rozanizam.

Namun, secara umumnya, seseorang itu dikira bermasalah apabila:

1 Mengutamakan penggunaan media sosial berbanding urusan lain.

2 Hilang kawalan untuk mengurangkan penggunaan.

3 Berasa gelisah, tidak tenteram atau murung apabila tidak melihat telefon bimbit.

4 Menggunakan media sosial pada waktu-waktu tertentu.

5 Menggunakan media sosial untuk mengendalikan tekanan.

Kajian di Malaysia menunjukkan hampir 40 peratus individu pernah melakukan aktiviti buli secara siber.

Ujar Dr Rozanizam, lebih 40 peratus mengaku pernah menjadi mangsa buli.

"Antara faktor yang meningkatkan kes buli ialah mereka yang pernah alami pengalaman membuli atau dibuli, terdiri daripada golongan muda dan wanita. Mangsa buli pula biasanya terdedah kepada risiko masalah mental seperti kemurungan.

"Mereka mungkin tidak dapat sokongan. Akhirnya terlibat dengan perilaku mencederakan diri," katanya mengulas tentang media sosial yang dikaitkan sebagai pembunuh. Apakah langkah sesuai untuk tidak menjerumuskan diri dalam kelompok yang menjadi 'hamba' media sosial?

Ujar pakar tersebut, seseorang itu mestilah mengawal dan sedar diri terhadap bahana menggunakan media sosial secara keterlaluan.

Menurutnya, kajian saintifik menunjukkan penggunaan media sosial telah memberi kesan kepada otak dengan cara yang sama seperti dadah!

"Ia mengaktifkan reward circuit dalam otak manusia. Sekiranya berlebihan, seseorang akan sentiasa mahu menggunakan media sosial bagi merangsang bahagian otak. Akibatnya kita hilang kawalan," jelas beliau.

Sehubungan itu, dalam hal tersebut, prinsipnya sebenarnya sama seperti berdepan dengan penyakit-penyakit lain iaitu lebih baik mencegah daripada mengubati.

"Semuanya bermula daripada keluarga, ibu bapa harus tunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Kawal penggunaan (gajet), disiplinkan masa, tetapkan waktu dan tertentu untuk menggunakannya. Dalam erti kata lain, ubah budaya ketika menggunakan media sosial yang sebenarnya mempunyai banyak faedah jika kena pada caranya," katanya.

Menurutnya Dr Rozanizam lagi, apa kata sesebuah keluarga pelbanyakkan aktiviti yang lebih menyihatkan fizikal dan minda untuk 'detoks' daripada media sosial.

'Kawal anak kita yang berurusan dengan internet'
PENSYARAH Kanan yang juga penyelidik dari Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Rusdi Abdul Rashid mempunyai pandangan berbeza terhadap media sosial.
Dr Rusdi
Dr Rusdi

Baginya, medium tersebut lebih banyak mempunyai kebaikan.

"Kita harus akui pada masa ini, media sosial kini banyak membantu pelajar. Pada saya, perkara paling penting, kita perlu mengawal anak kita yang berurusan dengan internet. Misalnya dengan siapa dia chatting," katanya kepada Sihat:Aktif.

Kemurungan akibat masalah media sosial boleh berlaku terhadap remaja yang obses dengan media sosial.
Kemurungan akibat masalah media sosial boleh berlaku terhadap remaja yang obses dengan media sosial.

Bagaimanapun menurutnya, gejala negatif berkaitan penyakit media sosial mula 'menjangkiti' anak remaja jika mereka mempunyai kriteria seperti berikut:

1) Sering tidak hadir ke sekolah dan pelajaran merudum secara tiba-tiba.

2) Selalu menyendiri secara tiba-tiba di rumah atau di sekolah.

3) Menjadi mangsa rakan-rakan khususnya buli siber.

4) Kurang atau terlebih tidur dan makan.

5) Tanda-tanda 1-4 merupakan petanda awal sebelum seseorang boleh mencederakan atau bertindak membunuh diri.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar Kementerian Pendidikan bertindak dengan meningkatkan kempen berkaitan kesan negatif media sosial termasuk buli siber.

Para guru juga disarankan membantu dan lebih peka dengan pelajar mereka memandangkan tenaga pengajar kadangkala lebih mengenali peribadi pelajarnya berbanding ibu bapa sendiri.

Kemurungan akibat masalah media sosial boleh berlaku terhadap remaja yang obses dengan media sosial.
Kemurungan akibat masalah media sosial boleh berlaku terhadap remaja yang obses dengan media sosial.

ANEKDOT

Kes kematian akibat media sosial dan gajet:

13 Mei 2019 - Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut digilis lori gara-gara ibunya yang leka melayan media sosial menggunakan telefon bimbit di Samut Prakan, tengah Thailand.

27 Mac 2019 - Bernama melaporkan, Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia terhadap 300 pemandu di sekitar Lembah Klang pada 2016 mendapati 43.4 peratus daripada responden mengaku menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Sementara, 61.9 peratus menggunakannya ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat. Penggunaan telefon bimbit ketika memandu atau menunggang motosikal dikenal pasti menjadi antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini.

28 Mac 2019 - Seorang gadis berusia 15 tahun maut ketika berswafoto berhampiran landasan kereta api. Dalam kejadian di bandar Orsk, Rusia itu, tubuh Karina Baymukhambetova, 15, 'berkecai' apabila dia dilanggar oleh kereta api barang yang bergerak laju.

21 Mei 2019 - Di Dubai, seorang gadis bertindak membunuh diri dengan mengambil racun selepas diugut menerusi media sosial. Geo TV melaporkan, keluarga mangsa menemui sepucuk surat mendedahkan bahawa dia diugut seorang budak lelaki dan rakan-rakannya berhubung beberapa foto yang sudah diedit.

6 Ogos 2018 - Polis Argentina mengesahkan kematian seorang gadis berusia 12 tahun kerana bunuh diri di kota Ingeniero Maschwitz, Buenos Aires akibat ikutan permainan di media sosial, Momo Challenge.

13 Jun 2018 - Gara-gara hilang imbangan ketika sedang mengambil swafoto, dua warga Australia maut selepas terjatuh dari tembok tinggi berdekatan pantai popular di di bandar Ericeira, sebuah destinasi popular kira-kira 30 kilometer dari ibu kota Portugal.

17 April 2018 - Akibat ketagihan terhadap penggunaan Facebook dan WhatsApp, Luxmi, 32, dicekik suaminya Hariom, 35, ketika dalam bilik tidur di rumah mereka di perumahan flat sektor 92, India.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia