Piala Dunia: Cheng Hoe tidak beri jaminan

Tan Cheng Hoe
A
A

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengesahkan bahawa tidak ada jaminan untuk barisan pemain yang sama akan dikekalkan untuk aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, September depan.

Ujar Cheng Hoe, meskipun skuad yang dipilih kali ini mencipta sensasi dengan membelasah Timor Leste 12-2 secara agregat, namun beliau tetap mahu memantau pemain-pemain lain yang beraksi di Liga Malaysia.

Jelasnya, ini kerana lawan yang akan menanti mereka di Doha, Qatar tiga bulan lagi jauh lebih sukar daripada apa yang mereka hadapi baru-baru ini.

"Selepas ini kita akan jumpa lawan yang jauh lebih baik daripada kita. Sebab itu saya beri nasihat kepada pemain-pemain untuk lebih bersedia dengan peringkat seterusnya.

"Kami yakin peringkat selepas tidak mudah memandangkan kita akan jumpa negara-negara seperti Iran, Korea, Jepun, Arab Saudi dan Qatar. Jadi pemain kena bersedia untuk hadapi tekanan yang lebih kuat daripada pasukan-pasukan besar ini.

"Pada masa sama, saya juga akan terus memantau pemain lain yang ada dalam liga kerana saya perlu katakan bahawa tiada jaminan 23 atau 25 pemain yang dipanggil untuk kem kebangsaan baru-baru ini akan dikekalkan," katanya.