Orang Asli Bateq boleh pupus

Shariffa Sabrina (berdiri) melayan tetamu yang hadir pada majlis sambutan hari raya PEKA di Tanah Aina Fareena, Bentong semalam. Dua dari kanan ialah suaminya, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir.
A
A

SHAH ALAM - Kebimbangan orang asli suku Bateq di Gua Musang bahawa keturunan mereka akan pupus tidak mustahil akan berlaku.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, pembalakan dan perlombongan haram yang serius telah mengganggu kehidupan masyarakat orang asli di situ.

“Orang Asli Bateq ini adalah komuniti yang pemalu dan primitif. Apabila hutan sudah tiada dan sungai pula kotor akibat perlombongan dan pembalakan, bagaimana mereka nak hidup?

“Jadi tak mustahil Orang Asli Bateq yang hanya tinggal kira-kira 2,000 orang ini akan pupus. Kalau kita nak modenkan orang asli susah kerana mereka dah biasa dengan kehidupan di hutan,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis sambutan hari raya dan hari lahir beliau di Tanah Aina Fareena di sini semalam.

Beliau turut menegur kerajaan negeri Kelantan yang dilihat tidak serius dalam menangani isu pembalakan dan perlombongan haram di negeri itu.

“Kami daripada Peka melihat kematian Orang Asli Bateq terjadi akibat perlombongan dan pembalakan berleluasa. Selagi ada pembalakan dan perlombongan, orang asli tak hidup selamat kerana mereka bergantung kepada hutan,” katanya.

Shariffa Sabrina
Shariffa Sabrina

Menurut beliau, kematian 13 penduduk orang asli suku Bateq juga adalah satu permulaan kepada malapetaka yang lebih besar kepada manusia.

“Kalau mereka mati kerana keracunan, lambat laun semua racun itu akan pergi ke bandar dan sebabkan kanser dan penyakit kulit. Apa yang kami lihat, kerajaan langsung tidak mengambil berat isu alam sekitar, sebaliknya lebih utamakan pembangunan.

“Mereka hanya tahu nak buat kemajuan untuk penuhi poket. Tetapi jika kerajaan bijak, mereka perlu beri keutamaan kepada isu alam sekitar kerana ia asas kehidupan,” katanya.

Shariffa Sabrina berkata, memindahkan Orang Asli Bateq ke lokasi lain yang selamat adalah penyelesaian segera boleh diambil ketika ini.

“Ini langkah untuk jaga keselamatan mereka supaya mereka dapat pulih seperti sedia kala.

"Penduduk Orang Asli Bateq ini mesti dijaga dulu sampai mereka kuat dan boleh pulang ke hutan mereka semula.

“Masalahnya sekarang ialah mereka tiada hutan untuk didiami dan terpaksa berhijrah,” katanya.