Enam lelaki berdepan hukuman mati kes rogol, bunuh kanak-kanak di India

Media tempatan di India mengerumuni kenderaan membawa tujuh suspek kes rogol dan bunuh seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di wilayah Jammu pada tahun lalu.- Foto AFP
A
A

PUNJAB - Enam lelaki disabitkan bersalah ekoran kes rogol dan bunuh membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari puak nomad Muslim di India pada tahun 2018 yang mencetuskan ketegangan di negara itu.

Menurut kertas pertuduhan, mangsa diculik ketika membawa kuda miliknya meragut rumput sebelum dibawa ke sebuah kampung di daerah Kathua yang terletak di negeri Jammu pada 10 Januari tahun lalu.

Mangsa yang disembunyikan di sebuah kuil Hindu diberi ubat pelali lalu dirogol berulang kali selama lima hari sebelum dicekik dan dipukul hingga mati.

Mayat mangsa dilaporkan ditemukan tiga minggu kemudian di sebuah kawasan hutan.

Hasil siasatan mendapati mangsa dijadikan sasaran bagi mencetuskan rasa takut dalam kalangan komuniti nomad puak Gujjars sekali gus mengusir mereka dari kawasan terbabit.

Bercakap kepada wartawan di luar mahkamah di Pathankot, peguam pendakwa, Mubeen Farooqui berkata enam lelaki Hindu terbabit berdepan hukuman mati atau hukuman minimum penjara seumur hidup.

Suspek ketujuh kes berkenaan bagaimanapun dibebaskan sementara suspek kelapan yang juga di bawah umur dibicarakan secara berasingan.

"Kami akan membuat rayuan berhubung sabitan terbabit di mahkamah tinggi," kata peguambela H.S. Pathania.

Antara tiga individu yang disabitkan bersalah dalam kes rogol dan bunuh itu ialah ketua kampung Sanjhi Ram dan pegawai polis Deepak Khajuria, tiga lagi suspek didapati bersalah menerima rasuah dan memusnahkan bukti dan berdepan hukuman penjara seumur hidup di bawah undang-undang konspirasi.

Kes yang juga dikenali sebagai Kes Kathua itu telah mencetuskan protes ganas selama dua hari di Jammu dan juga beberapa lokasi di seluruh India termasuk New Delhi, Mumbai dan Bangalore.

Keganasan seksual termasuk terhadap kanak-kanak berleluasa di India dan kemarahan yang tercetus ekoran Kes Kathua menyebabkan kerajaan memperkenalkan hukuman mati terhadap perogol yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa. - AFP