Polis kesan modus operandi judi haram beralih ke kampung

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Sindiket perjudian haram di Sabah dikesan beralih modus operandi dengan melakukan aktiviti tersebut di kawasan kampung yang sukar dijejak polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, sindiket berkenaan melakukan kegiatan perjudian haram dengan masuk jauh ke dalam kawasan kampung yang hanya boleh dilalui dengan motosikal.

"Namun kita akan terus membasmi sindiket ini dan tidak akan berkompromi dengan aktiviti perjudian haram di Sabah," katanya pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Tawau di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengarahkan semua Ketua Polis Daerah untuk melakukan operasi membanteras kegiatan berkenaan di kawasan masing-masing.

"Saya tidak nafikan wujud sindiket perjudian berlesen tetapi kita mesti lakukan operasi setiap hari, memantau perjudian haram, pusat hiburan termasuk kafe siber," katanya lagi.

Omar mengalu-alukan kerjasama orang awam dalam memberikan maklumat berkaitan judi haram kepada polis sebagai membantu keberkesanan polis membasmi sindiket perjudian haram di Sabah.

Beliau turut menerima baik cadangan kerajaan negeri yang mahu membatalkan lesen perjudian di Sabah.

Katanya, ketika ini terdapat 43 premis perjudian berlesen yang tertakluk kepada peraturan dan syarat yang ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, Pemangku Asisten Komisioner Peter Umbuas menerima tugas Ketua Polis Tawau daripada Timbalan Ketua Polis Tawau, Nor Azizulkifli Mansor yang memangku jawatan berkenaan selama dua bulan.- Bernama