Bahan semula jadi pengganti produk wajah

Tekap hirisan timun untuk mengatasi masalah lingkaran hitam di bawah mata semalam 30 minit.
A
A

MAJORITI lelaki menyifatkan penjagaan wajah itu adalah hak mutlak wanita. Walhal, rutin tersebut juga wajar diamalkan golongan jejaka bagi mendapatkan kondisi kulit wajah yang bersih dan licin.

Kulit wajah yang sihat bukan sahaja membantu menaikkan seri malah meningkatkan keyakinan diri seseorang dikala tampil di depan khalayak ramai. Justeru, jangan memandang ringan aspek penjagaan kulit wajah apatah lagi dalam keadaan cuaca negara panas dan lembap.

Selain menggunakan rangkaian produk muka lelaki yang dijual di pasaran, anda juga mengamalkan rutin kecantikan berasaskan bahan-bahan semula jadi seperti ketulan ais, madu, timun mahupun garam.

Ais kurangkan bengkak, kecut jerawat

Ais bukan sahaja menyejukkan minuman bahkan, ideal digunakan dalam amalan menyerikan wajah. Caranya mudah sahaja dengan mengambil beberapa ketulan ais dan gosok secara lembut pada keseluruhan muka.

Amalan ini membantu mengurangkan kemerahan dan bengkak termasuk mengecilkan saiz liang pori serta mengecutkan jerawat. Jika dilakukan secara konsisten kulit wajah akan kekal sihat dan segar sentiasa.

Garam agen tanggal kulit mati

Garam merupakan agen pengelupasan semula jadi yang bertindak menanggalkan kulit mati. Selain itu, kandungan mineralnya membantu melembutkan dan memulihkan penghidratan dengan menggosok lembut ke atas kulit wajah.

Jangan skrub muka terlalu kasar kerana bimbang menimbulkan keradangan.

Menariknya, garam yang mengandungi sumber fluorida asli juga boleh digunakan untuk memutihkan gigi berkarat gara-gara kerap merokok atau minum kopi.

Lingkaran hitam hilang 30 minit

Kesan tidak cukup tidur atau penggunaan komputer secara berlebihan sama ada di pejabat dan kuliah akan menyebabkan lingkaran hitam bawah mata. Bagi mengatasi masalah tersebut ambil dua hirisan timun lalu tekap pada mata semalam 30 minit.

Rutin kecantikan bersama sayuran yang mengandungi mineral seperti vitamin C, magnesium, potassium dan silica itu turut merawat kulit wajah akibat selar matahari.

Dalam pada itu, jus timun juga meningkatkan kecantikan kulit wajah selain mengurangkan iritasi dan bengkak.

Rawat bibir guna madu

Bagi lelaki yang mengalami masalah bibir hitam kerana tabiat merokok disarankan menyapu madu asli pada bahagian bibir setiap malam sebelum tidur.

Selepas bangun tidur, bersihkan bibir menggunakan air suam dan gosok secara lembut.

Madu asli membantu merawat masalah bibir hitam akibat tabiat merokok.
Madu asli membantu merawat masalah bibir hitam akibat tabiat merokok.