Kakak bimbang adik tidak pulang selepas enam hari
PENDANG - Seorang kakak kini sedang giat mencari adiknya yang hilang sejak 4 Jun lalu selepas keluar rumah pada jam 7.10 petang.
Ismalinda Abdullah, 36, berkata, adiknya Muhammad Anwar Abdullah, 24, tidak pernah menghilangkan diri begitu lama.
Katanya, Muhammad Anwar akan mengubunginya jika mahu keluar dari rumah dan tidak pulang untuk beberapa hari.
"Selalu dia akan telefon saya beritahu dia ada di mana kalau tak balik, tapi kali ni tak ada pula. Kami adik-beradik semua risaukan keadaan diri dia," katanya.
Menurut Ismalinda, Muhammad Anwar keluar rumah dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa membawa bekalan ubat yang sepatutnya menjadi rutin hariannya.
"Adik saya ada masalah mental sikit, dan dia perlu makan ubat untuk pastikan diri dia terkawal. Jadi bila dia tak bawa ubat bersama, saya sangat risau," katanya.
Menurut Ismalinda, dia dan ahli keluarga yang lain telah membuat laporan polis dan memohon bantuan rakan-rakan untuk mencari adiknya.
"Tapi sampai sekarang tak ada khabar berita mengenai kehilangan Muhammad Anwar," katanya.
Ismalinda berkata, dia sangat berharap bantuan daripada orang ramai untuk menghubunginya sekiranya terlihat Muhammad Anwar di talian 0164205488 atau 0134304364.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!