Rogol rakan sebaya, remaja berdepan hukuman penjara 20 tahun

Tertuduh (tengah) bersama Sukhdave di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
A
A

KAMPAR - Seorang pelajar lelaki berhadapan hukuman penjara 20 tahun selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol rakan sebayanya tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh yang berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan tanpa rela dengan mangsa yang juga berusia 17 tahun di kawasan Air Terjun jam 8 pagi, 24 Ogos 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Norashikin Hassan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Sukhdave Singh.

Siti Norashikin menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh membuat rayuan memohon mahkamah meringankan wang jaminan tersebut memandangkan ibu bapanya hanya bekerja sebagai buruh.

Nur Faizah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia