Bekalan air terjejas ganggu 'mood' raya

Rosliza mengambil peluang menyimpan air selepas bekalan air kembali pulih sepenuhnya semalam kerana gusar masalah sama berulang.
A
A

MARAN - Sambutan Aidilfitri bagi lebih 3,000 penduduk di Felda Jengka 6 dan 7 terjejas berikutan gangguan bekalan air beberapa hari di kawasan tersebut.

Situasi tersebut menyebabkan sambutan lebaran mereka menjadi episod duka malah menyebabkan sebahagian anak-anak peneroka terpaksa memendekkan percutian mereka.

Bagi penduduk di Felda Jengka 7, kesengsaraan mereka bermula sehari sebelum raya sebelum bekalan kembali pulih sepenuhnya semalam.

Gangguan tersebut dialami membabitkan keseluruhan 20 buah blok di Felda tersebut dan mereka mendakwa tiada notis gangguan diberikan.

Seorang penduduk,Izzudin Hafiz Bani, 43, terkilan dengan situasi tersebut yang disifatkan paling teruk berbanding sebelum itu.

Menurutnya,situasi itu memang dialami setiap kali lebaran namun tidak berlarutan hingga beberapa hari.

"Dah la tiada notis diberikan, menyebabkan penduduk terpaksa mengeluarkan kos tambahan membeli bekalan air mineral untuk kegunaan harian hingga habis bekalan air itu di D'Mart.

"Malah ada yang terpaksa memendekkan cuti masing-masing kerana masalah ini. Selain itu kerana terdesak nak mandi,terpaksa pergi ke taman rekreasi, Che Minah Sayang," katanya lagi.

Dakwanya, penduduk juga hairan dengan kewujudan tangki air di kawasan tersebut kerana sejak lima tahun dibina, ia langsung tidak mengatasi masalah bekalan air di situ.

Bagi Riduan Sohor, 58, mereka dimaklumkan oleh pihak terbabit masalah itu berpunca kerana tekanan air rendah dan penggunaan yang banyak ketika musim perayaan.

"Namun pada waktu malam, tiada setitis airpun yang keluar,dan masalah ini telah berlarutan berpuluh tahun," katanya lagi.

Sementara itu di Felda Jengka 7, gangguan itu berlaku pada hari raya pertama membabitkan lapan buah blok daripada 16 blok keseluruhan.

Rosliza Othman, 37, kesukaran sangat dirasai terutamanya bagi mereka yang memiliki ramai anak dan warga emas.

"Memang ada bekalan air dihantar, tapi tak cukup. Terpaksa berjimat cermat. Jadi memang menyusahkan penduduk dengan tanpa notis awal diberikan.

"Kami langsung tidak menjangka situasi ini berlarutan beberapa hari sebab sebelum ini paling lama sehari sahaja," jelasnya.

Dia mencadangkan supaya dapat disediakan tong tambahan setiap kali musim perayaan selain menghargai usaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang membenarkan penduduk menggunakan air di balai raya terbabit bermula kelmarin sebelum bekalan kembali pulih sepenuhnya semalam.

Bagi Azura Razali, 49, mengakui sambutan Syawal kali ini sedikit suram berikutan masalah tersebut.

"Nak masak, mandi dan basuh baju jadi susah kerana masalah ini. Kena keluarkan duit lagi sebab nak beli air mineral," katanya.