Bekas ADUN Hulu Besut meninggal dunia

Allahyarham Abdullah Mat Dan
Allahyarham Abdullah Mat Dan
A
A
A

HULU BESUT - Bekas ADUN Hulu Besut, Abdullah Mat Dan, 73, meninggal dunia di Hospital Besut di sini, pagi semalam.

Isteri Allahyarham, Zubaidah Udin, 66, berkata, Allahyarham suaminya dihantar ke Unit Kecemasan hospital itu kerana mengalami batuk berdarah pada jam 3 pagi sebelum disahkan meninggal dunia 30 minit kemudian.

Menurutnya, suaminya mengalami masalah batuk berlarutan sejak lebih dua bulan lalu namun keadaannya tiba-tiba bertambah teruk pada awal pagi semalam lalu dikejarkan ke hospital dari kediamannya di Kampung Lubuk Kawah di sini.

"Allahyarham semakin lemah sebaik sampai di hospital dan tidak sedarkan diri sebelum doktor mengesahkan meninggal dunia," katanya.

Allahyarham kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mata Air dekat Lubuk Kawah jam 2 petang hari sama.

Abdullah yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Loh di kalangan masyarakat meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki berusia 27 hingga 46 tahun.

Anak kedua Allahyarham, Muhammad, 43, berkata, sebaik pulang bercuti untuk menyambut Aidilfitri baru-baru ini, bapanya ada berpesan supaya dia selalu pulang menjenguk ibunya.

"Ayah juga minta saya dan adik-beradik menyatukan masyarakat dan umat Islam, jangan berpecah-belah," katanya yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah di Ampang, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, dia tidak menyangka pesanan itu adalah tanda bapanya akan pergi buat selama-lamanya kerana ketika itu dia dapat bergerak seperti biasa cuma mengalami batuk-batuk sahaja.

Yang Dipertua Pas Kawasan Besut, Wan Azhar Wan Ahmad pula menyifatkan pemergian Abdullah sebagai satu kehilangan besar buat Pas Besut.

Menurutnya, Pas Besut kehilangan seorang tokoh yang sangat dekat di hati masyarakat kerana ketika hayatnya, Allahyarham sangat mengambil berat tentang masyarakat khususnya di Hulu Besut.

"Beliau menjadi wakil rakyat pada tahun 1999 hingga 2004 dan pernah memenangi beberapa jawatan penting parti seperti Bendahari Pas Kawasan dan beberapa jawatan lain.

"Sejak 2017 hingga sekarang pun beliau juga merupakan Penasihat DUN Hulu Besut dan saya menyifatkan beliau seorang yang sangat setia kepada parti dan perjuangan," katanya.