Pemuda PH ditempelak hanya 'senyap' kontroversi Latheefa

Syed Mohd Johan
Syed Mohd Johan
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda UMNO Kedah menempelak Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang sekadar ‘senyap’ berhubung kontroversi membabitkan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu.

Ketua Penerangannya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri turut membidas Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyokong sepenuhnya pelantikan itu, sekali gus memperlihatkan pendirian goyah sayap parti pakatan itu.

Menurutnya, episod kemelut pelantikan Latheefa itu mendedahkan perangai sebenar kalangan pemimpin muda PH, yang disifatkan tiada pendirian.

“Hanya apabila berkuasa dan mempunyai kedudukan sedikit, perjuangan mereka dahulu diketepikan. Janji perjuangan dengan mudah ‘disampahkan’ semata-mata mahu jaga kedudukan,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, sebelum ini, Syed Saddiq bingkas menentang sebarang pelanggaran peraturan yang didakwa beliau dilakukan kerajaan BN, tetapi kini dengan pantas beliau sudah bercabang lidah.

“Jelaslah, perjuangan Pemuda PH setakat menjadi 'rubber stamp' kerajaan tanpa mempedulikan apa yang rakyat mahukan. Terbukti falsafah ‘walk the talk’ hanyalah retorik mereka semata-mata,” katanya.

Pada masa sama, Pemuda UMNO Kedah mempersoal pendirian Ketua Pemuda PH Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berhubung isu ini, berikutan sepi dan kelu seribu bahasa.

“Apakah Mohd Asmirul bersetuju dengan pendirian ketuanya, Syed Saddiq walhal pelantikan Latheefa itu jelas melanggar perjuangan PH, malah melanggar pendirian ketua mereka sebelum ini yang lantang mengkritik pelantikan ketua agensi kerajaan kalangan ahli politik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Kedah mencabar Pemuda PH agar menentang pelantikan Latheefa selaras dengan janji mereka sebagai suara perubahan rakyat.

“Mana perginya suara perjuangan ketelusan dalam pentadbiran yang mereka laungkan semasa jadi pembangkang sebelum ini?” katanya.

Latheefa dilantik mengetuai SPRM berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memendekkan tempoh kontrak perkhidmatannya.

Pelantikan Latheefa yang juga bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM didakwa tidak menepati manifesto PH yang melarang pelantikan dalam kalangan ahli politik.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa keputusan beliau melantik Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu adalah muktamad meskipun mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk kalangan pemimpin PH sendiri.