Ibu anggota polis maut kemalangan

Anggota BBP Kuala Kubu Bharu membantu mengeluarkan mangsa tersepit dalam Toyota Unser.
Anggota BBP Kuala Kubu Bharu membantu mengeluarkan mangsa tersepit dalam Toyota Unser.
A
A
A

BATANG KALI - Ibu kepada seorang anggota polis maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 4 Jalan Sungau Tua - Ulu Yam di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, mangsa, Faridah Muda, 63, yang beralamat di Bandar Utama Batang Kali meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Camry dan Unser yang dinaiki tujuh sekeluarga termasuk seorang anggota polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya.

"Ketika kejadian kereta Camry dipandu lelaki berusia 31 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 23 tahun dalam perjalanan dari Ulu Yam ke Selayang. Sampai tempat kejadian, kereta Camry dipercayai gagal dikawal pemandu dan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar Unser di bahagian depan.

"Pemandu dan penumpang Camry mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki manakala seorang penumpang Unser di bahagian belakang meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Kemalangan membabitkan dua kereta di laluan Sungai Tua - Ulu Yam.
Kemalangan membabitkan dua kereta di laluan Sungai Tua - Ulu Yam.

Beliau berkata, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Unser berusia 27 tahun dan lima penumpang berusia antara 8 dan 33 tahun mengalami kecederaan dan dirujuk ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

"Kedua-dua kereta rosak teruk di bahagian hadapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Kamil Hamadan berkata, 10 anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian.

"Pemandu dan seorang penumpang Unser tersepit di bahagian tempat duduk hadapan dan anggota menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa.

"Seorang lagi penumpang yang turut tersepit meninggal dunia di tempat kejadian. Orang ramai turut membantu mengeluarkan mangsa yang cedera ringan sebelum pihak bomba sampai dan operasi tamat pada jam 4.40 petang," katanya.

Menurutnya, daripada maklumat awal diterima, keluarga terbabit dalam perjalanan dari Batang Kali menuju ke Bangi dan dipercayai mahu beraya ke rumah saudara mereka.