Dilema pengusaha perahu penambang Sungai Sarawak

Pengusaha perahu penambang, Sapuan Abun, 61, (depan) bersama penumpangnya menuju ke Pangkalan Sapi berhampiran Tebingan Sungai Kuching pada hari kedua Aidilfitri. - FOTO BERNAMA
Pengusaha perahu penambang, Sapuan Abun, 61, (depan) bersama penumpangnya menuju ke Pangkalan Sapi berhampiran Tebingan Sungai Kuching pada hari kedua Aidilfitri. - FOTO BERNAMA
A
A
A

KUCHING - Apabila jambatan Darul Hana yang merentangi Sungai Sarawak mula dibuka kepada orang ramai dan menjadi mercu tanda baharu di Tebingan Kuching, perkhidmatan perahu penambang di sungai itu yang telah banyak berjasa kepada warga Kuching sejak zaman penjajahan Brooke kini berada dalam dilema ekoran permintaan yang semakin merosot saban hari.

Dalam mengejar arus pemodenan dan peningkatan kualiti hidup rakyat sudah pasti memerlukan pengorbadan dan dalam hal nasib pengusaha perahu penambang Sungai Sarawak ini seharusnya pihak berkuasa mencari jalan bagaimana nasib mereka terus terbela agar ada kesinambungan dan perkhidmatan yang unik ini tidak lupus ditelan arus pemodenan.

Mungkin kerajaan negeri boleh mengambil inisiatif memodenkan perkhidmatan perahu penambang ini dengan mengubahnya menjadi “river cruise” yang dijalankan oleh pengusaha berkenaan bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagi pengusaha perahu penambang mereka telah melakukan pelbagai revolusi antaranya perahu penambang yang suatu ketika dahulu berbumbungkan atap nipah dan hanya menggunakan kudrat empat kerat berdayung, kini menggunakan enjin sangkut dan berbumbung zink.

Para pengusaha senada mahukan kerajaan negeri memberi perhatian terhadap nasib masa depan mereka selepas jambatan Darul Hana yang bernilai RM35 juta itu siap dibina serta dirasmikan pada November 2017 dan menjadi antara tarikan pelancong di negeri ini.

Seorang pengusaha perahu penambang, Sapuan Abun, 61, berkata pendapatan hariannya sangat terjejas selepas jambatan itu dibuka kerana pengunjung tempatan dan luar sudah tidak berminat dan lebih gemar menggunakan jambatan sepanjang 400 meter itu kerana ianya percuma.

“Saya tidak salahkan pembinaan jambatan itu kerana ia secara tidak langsung memudahkan perjalanan penduduk setempat untuk menyeberangi sungai ini,” katanya semasa temu bual eksklusif bersama Bernama di sini hari ini.

Jambatan Darul Hana dibina dengan dua kabel setinggi 45 meter daripada menara keluli dengan kecondongan 48 darjah membolehkan pelancong menyeberangi Sungai Sarawak untuk ke kawasan seberang bersebelahan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di Petra Jaya.

Artikel Berkaitan:

Namun, menurut Sapuan yang sudah hampir 10 tahun menyara keluarga dengan perahu penambangnya berkata, semua pengusaha perahu penambang mengharapkan kerajaan negeri mempunyai rancangan atau inisiatif bagi membantu mereka menaikkan kembali imej dan reputasi bagi menggalakan orang ramai kembali menggunakan perkhidmatan itu.

“Kalau dahulu sebelum ada jambatan ini, pendapatan kami boleh mencecah RM100 sehari tetapi selepas adanya jambatan berkenaan, nak cari RM30 sehari pun susah,” kata ayah kepada lima orang anak itu.

Pada zaman penjajah Brooke, perahu tradisional ini menjadi pengangkutan utama penduduk kampung serta pegawai kolonial berulang-alik dari beberapa perkampungan Melayu dan pejabat pentadbiran kerajaan yang terletak di tebingan sungai ke pusat bandar.

Walaupun sungai yang direntasi hanya mengambil masa beberapa minit perjalanan tetapi perahu penambang tetap menjadi pengangkutan pilihan pada masa itu memandangkan hanya ada sebatang jambatan gantung dibina menyerangi Sungai Sarawak ketika waktu itu.

Ketika ini perahu penambang berkenaan beroperasi di beberapa lokasi seperti di Pangkalan Haji Omar di Kampung Boyan, Pangkalan Batu Kampung Lintang dan Pengkalan Astana Negeri.

Seorang lagi pengusaha, Mardu Kipli, 53, yang merupakan generasi kedua mengusahakan perahu penambang yang diwarisi daripada ayahnya berkata pihak berwajib perlu merangka strategi baharu yang lebih efektif dan menguntungkan para pengusaha supaya perkhidmatan warisan perahu penambang ini terus relevan pada masa akan datang.

“Saya berpendapat ada baiknya jika ada pihak yang mengawal selia perkhidmatan perahu penambang ini dan segala peruntukkan daripada kerajaan negeri dapat disalurkan terus kepada para pengusaha.

“Selain itu, sudah tiba masanya untuk perkhidmatan ini mempunyai sistem yang lebih baik seperti membuka kaunter tiket dan menyediakan pangkalan yang lebih selesa untuk kemudahan pengguna,” katanya. - Bernama