Guna siren polis tempuh kesesakan lalu lintas

Kereta Proton Gen 2 yang menggunakan siren polis yang tular di media sosial.
Kereta Proton Gen 2 yang menggunakan siren polis yang tular di media sosial.
A
A
A

BATU PAHAT – Polis daerah ini berjaya menahan seorang lelaki selepas videonya memandu kereta dengan menggunakan siren polis ketika meredah kesesakan jalan raya di Parit Raja, di sini, tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kira-kira jam 2.30 pagi, semalam, pihaknya telah menerima satu aduan berkaitan penyalahgunaan siren oleh pemandu kereta tersebut yang ditularkan di dalam laman sosial Facebook.

“Daripada risikan maklumat yang diperolehi, lapan jam kemudian kami berjaya melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki berumur 34 tahun dan merampas kenderaan Proton Gen 2 yang digunakan oleh suspek.

“Hasil pemeriksaan menemui set siren dipasang di dalam kereta tersebut dan suspek dipercayai menggunakan siren bagi memudahkan perjalanannya dengan mendapatkan laluan di dalam kesesakan jalan raya di Parit Raja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah kesalahan menghalang lalu lintas dan menyamar sebagai penjawat awam di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan kes diklasifikasikan selesai dengan penangkapan tersebut.

Katanya, bagi kesalahan halangan lalu lintas, suspek boleh didenda sebanyak RM200 atau dipenjara selama tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan dan bagi kesalahan menyamar penjawat awam, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kami menasihati semua pengguna jalan raya bagi mematuhi peraturan jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah terutama di musim perayaan yang sering berlaku kepadatan dan kesesakan jalan raya,” katanya.

Artikel Berkaitan: