Kanak-kanak perempuan cedera dipukul, didera bapa angkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SERDANG - Seorang kanak-kanak perempuan cedera di beberapa bahagian anggota badan disyaki didera oleh bapa angkatnya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian selepas ibu angkat mangsa membuat laporan pada jam 6 petang Selasa lalu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, wanita berusia 25 tahun itu mendakwa suaminya mendera mangsa dengan menggunakan sudu panas serta memukul kepala kanak-kanak itu pada 31 Mei lalu di rumah mereka di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, di sini.

Menurutnya, disebabkan itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat melecur di kedua pipi, kedua-dua tangan, pinggang kanan serta kaki kiri.

"Selepas kejadian, bapa angkat mangsa hanya memberikan minyak sebelum melarikan diri.

"Mangsa hanya dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan selepas ibunya yang pulang bercuti dari India mengetahui kejadian, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismadi berkata, ketika kejadian, ibu mangsa tiada di rumah kerana bercuti ke India dari 24 Mei lalu dan pulang pada Ahad lepas.

Beliau berkata, mangsa ditinggalkan bersama suami (suspek) serta anak lelakinya berusia sembilan tahun.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, laporan awal menunjukkan kejadian berlaku berpunca daripada tuduhan suspek ke atas mangsa yang dikatakan mencuri wangnya.

Selain itu katanya, siasatan menunjukkan ibu mangsa juga mempunyai masalah dengan suspek berusia 48 tahun itu.

"Suspek merupakan penjual ikan di Pasar Borong Serdang dan sudah berkahwin dengan ibu mangsa sejak lima tahun lalu.

"Mangsa merupakan anak angkat yang diambil secara sah pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta kanak-kanak 2001.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta memaklumkan kepada polis," katanya.