X

Kindly register in order to view this article
!

'Insya-ALLAH Acap akan pulang'

Gambar sekeluarga Acap bersama Hamizah dan Aishah Nur Zahra yang dirakam ketika Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.
A
A

IPOH - Kepulangan Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau Acap yang hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail sejak 23 Mac lalu masih dinantikan isteri tercinta.

Biarpun sudah 73 hari tiada khabar berita, Hamizah Mohd Ramli, 27, yakin suaminya akan pulang tidak lama lagi.

Menurutnya, besar harapan dia dan anak kecilnya, Aishah Nur Zahra yang berusia setahun lebih melihat Acap menyambut Aidilfitri bersama tahun ini.

"Saya yakin masih ada peluang untuk kami beraya bersama. Cukup saya katakan walaupun lagi sesaat nak raya, ia masih lagi harapan untuk saya.

"Doakan suami saya selamat pulang. Memang saya harap dia balik dengan cepat tetapi ALLAH lebih mengetahui masa yang sesuai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hamizah berkata, sempena Aidilfitri, tidak banyak persiapan dibuat namun dia sayu melihat anaknya yang tercari-cari kelibat Acap.

Katanya, dia reda dengan segala ketentuan dan dugaan yang diberikan oleh ALLAH.

"Sebenarnya, persiapan saya tertumpu kepada persiapan hati dan jiwa. Saya perlu kentalkan hati demi anak.

"Memang anak tercari-cari daddy (panggilan mesra Acap). Saya cakap Insya-ALLAH, daddy balik nanti," katanya.

Untuk rekod, operasi pencarian Acap dimulakan selepas dia dilaporkan tidak sampai ke garisan penamat acara sukan lasak itu namun tidak menemui sebarang petunjuk lokasi mangsa berada.

Operasi pencariannya turut dihentikan pada 30 Mac lalu setelah lebih 700 pasukan SAR serta orang awam terlibat dalam pencarian membabitkan kawasan seluas 35km persegi meliputi kawasan Bukit Batu Putih hingga Plaza Tol Gopeng.

ARTIKEL BERKAITAN: Kronologi kehilangan Acap


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus