Henti spekulasi berhubung Jho Low: Abdul Hamid

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Hentikan membuat segala spekulasi tidak benar berkaitan ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata perkara itu hanya akan mengganggu siasatan, dan yakin polis akan menahan Jho Low dalam tempoh terdekat.

"Saya enggan mengulas isu ini, apa yang penting kami telah mengetahui lokasi Jho Low maka bersabarlah dan beri kami masa untuk mendedahkan Jho Low dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Jho Low, selepas menghadiri kempen balik kampung Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Gombak arah timur, di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, Abdul Hamid menafikan mesej yang tular di media sosial mendakwa Jho Low telah ditahan. Mesej tular di media sosial itu mendakwa ahli perniagaan kontroversi itu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah ditahan pihak berkuasa China dan akan dibawa pulang ke Malaysia.

Sebelum ini, Abdul Hamid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan kepada Jho Low bahawa selamat baginya untuk kembali ke Malaysia untuk menjalani proses perundangan.

Pada Khamis lepas (30 Mei), Abdul Hamid berkata Jho Low dijangka ditahan tidak lama lagi dan polis yakin dapat membawanya pulang ke tanah air untuk berdepan dengan tindakan undang-undang.

Beliau berkata polis mempunyai petunjuk baharu mengenai keberadaan Jho Low. - Bernama

Artikel Berkaitan: