Kes Abang Botak: Denda sudah memadai

Gambar kecil: (Lam Thye)
A
A

SHAH ALAM - Hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang pembantu stor, Danial Abdullah Tan, 31, disifatkan terlalu berat.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, memandangkan Danial atau dikenali sebagai ‘Abang Botak’ sudah insaf dan mengakui kesalahannya, mungkin hukuman denda adalah memadai.

Bagaimanapun, Lam Thye berkata, selain denda, Abang Botak juga harus diberikan amaran yakni akan dikenakan tindakan lebih tegas sekiranya dia mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang termasuk hukuman penjara.

“Mungkin punca insiden ini tercetus kerana penunggang motosikal itu tidak dapat mengawal sabar sehingga membawa kepada ketegangan.

“Bagi saya kalau dia sudah mengaku bersalah dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya, denda adalah mencukupi dan mahkamah harus berikan amaran jika dia ulangi kesalahan sama seperti dikenakan tindakan lebih tegas termasuk dipenjarakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berpendapat, tindakan ganas dan hilang kawalan seperti itu juga boleh dikaitkan dengan masalah mental atau tekanan perasaan.

“Jika pesalah ini memikirkan nasib keluarganya sekirannya dia dipenjara, dia harus bertindak mengikut rasional bukannya emosi.

“Tetapi dalam kes Abang Botak, cukuplah dengan denda dan amaran kerana ia kesalahan pertama yang dilakukannya,” sarannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam sifatkan hukuman terhadap 'abang botak' terlalu berat

Pada 31 Mei lalu, Abang Botak dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret selepas disabitkan kesalahan memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledarnya.

Dia memberitahu mahkamah, punca kejadian ialah kerana pemandu kenderaan, Siew Chean Voon, 58, yang memandu Perodua Axia menghimpitnya bersama bersama seorang lagi pembonceng motosikal sebanyak dua kali.