Pemilik Gerai Lemang Pak Teh bantu jual kuih raya

Pelbagai jenis kuih tradisional dan moden ditawarkan.
Pelbagai jenis kuih tradisional dan moden ditawarkan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lebih 80 pengusaha kecil-kecilan diberi peluang memasarkan produk mereka di Gerai Lemang Pak Teh di Padang Temusu sempena Aidilfitri bagi menambah pendapatan.

Pengurus Lemang Pak Teh, Azizan Md Isa, 54, berkata, dia menyediakan ruang untuk pengusaha kecil-kecilan menjual produk mereka digerainya.

Menurutnya, antara produk dipamerkan termasuk biskut raya, kerepek, maruku, kuih tradisional dan moden dengan lebih 100 pilihan.

"Macam-macam kuih raya ada, tahun ni kita beri peluang kepada lebih 80 pengusaha untuk sama-sama berniaga.

"Mereka letak produk dekat sini dan kita tolong jual, bila orang mai beli lemang secara tak langsung boleh beli kuih raya," katanya.

Peluang diberikan kepada pengusah kecil-kecilan menjana pendapatan sempena Ramadan dan Aidilfitri.
Peluang diberikan kepada pengusah kecil-kecilan menjana pendapatan sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Azizan berkata, lebih menarik terdapat kuih tradisional yang jarang ditemui seperti dodol, halwa maskat, bahulu, semperit dan lain-lain.

Katanya, orang ramai mula mendapatkan produk berkenaan sejak pertengahan Ramadan dan akan dijual sepanjang Syawal.

Artikel Berkaitan:

"Setiap produk mestilah dibungkus kemas, mempunyai pelekat, tertera nama syarikat dan nombor telefon untuk senang dihubungi," katanya.

Dalam masa sama, katanya, persiapan untuk menyediakan lemang sempena Hari Raya Aidilfitri dilakukan lebih awal termasuk menyediakan bahan mentah seperti beras pulut, buluh dan daun pisang selain kakitangan bertugas sepanjang perayaan telah pun bersedia.

"Kita dijangka mula menerima penambahan bilangan pelanggan pada 3 dan 4 Jun ini dan kita juga telah bersiap-siaga bagi memastikan tempahan dan jualan lancar," katanya.

Menurutnya, antara cabaran yang biasa dihadapi menjelang perayaan termasuk kerenah pelanggan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

"Ada yang pernah mengadu bahawa kesemua 80 batang lemang yang dibeli secara pukal rosak dan tidak sempat dimakan.

"Namun bila kita minta tunggu untuk semak rekod dia terus menghilangkan diri," katanya.

Lebih 100 jenis pilihan kuih raya disediakan oleh 80 pengusaha tempatan dan luar daerah untuk dijual di Gerai Lemang Pak Teh di Padang Temusu sempena Aidilfitri.
Lebih 100 jenis pilihan kuih raya disediakan oleh 80 pengusaha tempatan dan luar daerah untuk dijual di Gerai Lemang Pak Teh di Padang Temusu sempena Aidilfitri.

Azizan berkata, sekiranya ada pelanggan datang memberitahu lemang rosak atau mentah sehingga tidak dapat makan, pihaknya akan menggantikan dengan lemang yang baharu.

"Itu memang keistimewaan di Lemang Pak Teh, kalau ada yang mentah atau tidak boleh makan, mai bagitau kita ganti segera," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dalam kesibukan melayan pelanggan di musim perayaan terdapat juga pelanggan yang datang dengan niat berbeza, namun ditangani dengan cara berhemah agar tidak menjejaskan perniagaannya.