'Hujan sejam, kampung dah banjir'

Sidik (kiri) bersama Saidi (kanan) dan seorang penduduk kampung melihat kawasan parit yang sebelum ini tersumbat akibat banjir lumpur.
Sidik (kiri) bersama Saidi (kanan) dan seorang penduduk kampung melihat kawasan parit yang sebelum ini tersumbat akibat banjir lumpur.
A
A
A

BALING - Penduduk Kampung Sineyek meminta pihak berkenaan menyelesaikan masalah banjir lumpur yang berlaku di kawasan itu.

Malah rata-rata mereka mendakwa kejadian banjir lumpur yang melanda kawasan itu pada 30 Mei lalu berpunca daripada pembinaan projek musang king di Gunung Inas.

Penduduk, Sidik Saad, 61, berkata, banjir lumpur yang melanda kampung itu 30 Mei lalu adalah yang ketiga berlaku.

Menurutnya, air banjir itu mengalir dari kawasan bukit di kompartmen enam ke permukaan ke lebuh raya dan kampung.

"Sejak projek ini dijalankan kami akan menerima batu dan pasir sekiranya hujan lebat.

"Ini baru hujan dalam tempoh sejam selepas beberapa bulan kemarau, bayangkan apa nasib kami orang kampung jika musim tengkujuh nanti?," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sidik berkata, penduduk bimbang berlaku sesuatu pada beberapa kolam takungan air milik pihak musang king sekiranya musim tengkujuh.

"Kolam-kolam itu ada atas bukit dan dalamnya dikatakan 4.5 meter. Jika pecah saya rasa kampung ni pun akan hilang.

Artikel Berkaitan:

"Selain kampung kami, kampung paling hampir akan terima risiko besar ialah Keda Kemangi dan Kampung Kemangi," katanya.

Husin Majid, 70, pula berkata, kejadian banjir lumpur pada 30 Mei lalu juga hampir meragut nyawa pengguna lebuh raya Kupang-Grik.

"Waktu itu banyak kereta termasuk bas lalu kawasan ini, masa itu batu-batu dari bukit turun mendadak arus air pun laju.

"Mujurlah orang kampung tolong tahan semua kenderaan itu, jika tidak mungkin ada yang akan terkoban," katanya.

Abd Nasir
Abd Nasir

Dalam pada itu, peniaga, Mohd Saidi Saman,49, dari Kampung Kemangi berkata, perniagaannya terjejas angkara kolam takungan penduduk keruh apabila hujan lebat.

"Selain kedai saya, sebuah stesen minyak dan enam buah rumah yang guna sumber minuman dari kolam itu akan terjejas apabila hujan lebat.

"Tiga hari lalu air akan jernih semula. Sebelum projek ini dijalankan tak jadi macam ni, masalah ini dah hampir dua tahun," katanya.

Sementara itu, ADUN Bayu, Abd Nasir Idris berkata, beliau telah turun padang meninjau lokasi terbabit pada 31 Mei selepas menerima aduan penduduk.

Menurutnya, kejadian berkenaan perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan negeri kerana mengancam keselamatan ramai orang.

"Selain itu, jika ada kerosakan yang belum diperbaiki seperti paip-paip penduduk yang terjejas atau yang berkaitan, pihak projek musang king dinasihati ambil tindakan segera," katanya.

Untuk rekod, projek musang king diluluskan pada ketika pemerintahan kerajaan terdahulu dan belum dihentikan sehingga kini.