Piagam Pas-UMNO bakal senasib kerjasama Semangat 46

Mahfuz (kiri) mengagihkan sumbangan kepada penerima terpilih di Kampung Alor Senibung di sini, hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Piagam yang bakal dimenterai di antara Pas dan UMNO tidak mampu pergi jauh dan dilihat akan mengalami nasib sama seperti sejarah perjanjian parti politik itu yang bersama Semangat 46 di bawah Angkatan Perpaduan Ummah namun pada akhirnya terkubur.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar mendakwa, UMNO hanya mahu mempergunakan Pas sekali lagi untuk kembali memerintah dan digunakan sebagai batu loncatan sahaja bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, beliau percaya ramai ahli kedua-dua parti itu juga tidak bersetuju dengan kerjasama itu dan ianya hanya melibatkan kerjasama kepimpinan tertinggi sahaja.

"S46 (Semangat 46) dulu adalah serpihan UMNO juga dan mereka pernah bekerjasama dengan Pas namun akhirnya parti itu apabila sudah mendapatkan apa yang dimahukan (kemudiannya) telah tinggalkan Pas dan kembali semula kepada UMNO.

"Walaupun (ketika itu) tidak ada nama khas perjanjian seperti piagam namun ada perjanjian-perjanjian tertentu yang dipersetujui bersama. Saya fikir perkara yang sama juga bakal berlaku kepada kerjasama di antara Pas dan UMNO (Selepas piagam dimenterai)," katanya pada sidang akhbar selepas beliau menyerahkan sumbangan 2,000 ekor ayam kepada 1,000 penerima dari Parlimen Pokok Sena di Kampung Alor Senibung di sini, hari ini.

Menurutnya, kerjasama tersebut membuktikan bahawa beliau dan beberapa bekas pemimpin Pas sebelum ini berada di pihak yang benar selepas mendedahkan bahawa ada kerjasama yang sedang dilakukan di antara pemimpin Pas dan UMNO namun dinafikan.

"Semasa saya mendedahkan perkara ini semasa berada di dalam Pas, mereka kata saya buat fitnah. Pelbagai tomahan dan fitnah pula yang dilemparkan terhadap saya.

"Pengakuan Datuk Seri Najib Razak semasa hadir di Kompleks Pas Kedah baru-baru ini jelas membuktikan bahawa memang ada usaha kerjasama dua-dua parti ini. Jika ahli-ahli Pas rela hati untuk diperalatkan demi menjulang kembali pemimpin-pemimpin UMNO, jadi silakan," katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kerjasama yang semakin disemarakkan itu juga adalah salah satu bukti pembohongan dan kemunafikan pimpinan Pas selama ini yang kononnya dengan keras menolak kerjasama bersama UMNO.

Jelasnya lagi, pimpinan Pas pernah menyifatkan kerjasama dengan UMNO umpama menanggung biawak hidup.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata piagam yang berbentuk Muafakat Perpaduan Ummah itu tidak menolak kemungkinan membawa objektif ke arah kerjasama untuk berdepan PRU15.