X

Kindly register in order to view this article
!

'Hadiah istimewa' Trump untuk Netanyahu

Netanyahu dengan angkuh menunjukkan peta menunjukkan Bukit Golan sebagai wilayah Israel yang turut tertera tandatangan Trump.
A
A

TEL AVIV - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sengaja mencetuskan provokasi baharu dengan menandatangani sebuah peta tidak sah mengiktiraf Bukit Golan sebagai sebahagian daripada wilayah Israel.

Peta tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai ‘hadiah’ melalui Jared Kushner yang merupakan penasihat kanan dan juga menantu Trump.

Netanyahu dengan angkuh berkata peta baharu itu menandakan kawasan tersebut sebagai sebahagian wilayah Israel malah Trump turut menulis perkataan nice dengan melukis anak panah merujuk kepada Golan.

“Kushner serahkan peta terkini yang memasukkan Golan dalam wilayah kedaulatan Israel,” katanya seperti mahu menunjuk-nunjuk dalam sebuah program wawancara yang turut disiarkan stesen TV tempatan pada malam Khamis lalu.

April lalu, Netanyahu mengumumkan rancangan untuk menamakan komuniti baharu di Golan sempena dengan nama Trump kononnya sebagai tanda berterima kasih atas pengiktirafan tidak sah dataran strategik tersebut sebagai sebahagian daripada wilayah Israel.

Di bawah langkah provokatif pada 25 Mac lalu, Trump menandatangani pengisytiharan kedaulatan Israel ke atas wilayah Syria itu selepas termakan hasutan beberapa penasihat kanan beliau terutamanya Kushner.

Damsyik mengutuk sekeras-kerasnya keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai serangan secara terang-terangan ke atas kedaulatan dan keutuhan wilayah Syria.

Liga Arab turut mengecam langkah itu dan menegaskan pengiktirafan unilateral Trump tidak sesekali akan mengubah status kawasan tersebut.

Kebanyakan negara lain termasuk Iran, Rusia dan Turki bersama Majlis Keselamatan PBB (UNSC) juga menyelar langkah provokasi Trump itu selepas ia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘ibu negara’ Israel pada 2017.

Pada 1967, Israel melancarkan perang berskala besar ke atas wilayah Arab dan turut merampas sebahagian besar Golan dan menduduki kawasan tersebut 1981 di bawah langkah yang tidak pernah diiktiraf negara antarabangsa.

Syria telah berulang kali menegaskan kedaulatannya ke atas Golan dan menuntut kawalan penuh di bawah pentadbiran mereka.

Rancangan jahat Israel

Dalam perkembangan lain, Kesatuan Eropah (EU) telah mengutuk rancangan jahat Israel yang mahu menjual bantuan kemanusiaan yang dihantar untuk penduduk perkampungan Bedouin di wilayah ditadbir Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat.

Kelmarin, jurucakap EU di Baitulmaqdis, Shadi Othman berkata, unit hal ehwal ketenteraan Israel yang mengawasi aktiviti orang awam di wilayah Palestin atau COGAT merancang untuk melelong bantuan tersebut.

Bekalan itu termasuk dua struktur sekolah yang telah diserahkan kepada komuniti Ibziq dan dua khemah serta tiga bangsal kepada komuniti al-Hadidiya.

“Bantuan bernilai 15,320 euro (RM71,892) itu telah dirampas oleh pihak berkuasa Israel pada Oktober dan November tahun lalu,” ujar Othman.

Pada 6 Mei lalu, COGAT mengeluarkan iklan menerusi akhbar Maariv yang memperincikan jualan ‘barangan yang dirampas’ dari Tebing Barat.

“Sekiranya pemilik aset terbabit tidak menuntut barangan milik mereka dalam tempoh 30 hari bermula siaran notis ini, kesemua aset itu akan dijual,” menurut iklan tersebut.

Othman menjelaskan, EU telah membuat permintaan rasmi untuk pemulangan barangan tersebut, namun belum menerima sebarang respons daripada pihak berkuasa Israel.

“Misi EU di Baitulmaqdis dan Ramallah telah meminta pihak berkuasa memulangkan barangan yang telah dirampas tanpa prasyarat secepat mungkin atau memberikan pampasan,” ujarnya lagi.

Difahamkan, agensi Eropah sering membiayai struktur kemanusiaan di perkampungan Bedouin yang sering menjadi sasaran perobohan pihak berkuasa Israel.

Sejak 1949, pihak berkuasa Israel telah melakukan pengusiran secara paksa ke atas komuniti terbabit dan turut merobohkan struktur kediaman mereka yang didakwa dibina tanpa permit sah di bawah polisi yang merampas tanah penduduk Palestin.

Sehingga kini, Tel Aviv enggan mengiktiraf hak penduduk Bedouin dan menafikan akses kepada perkhidmatan asas.

Kira-kira 600,000 pendatang Yahudi tinggal di lebih 230 kawasan penempatan haram yang dibina sejak penduduk ke atas tanah penduduk Palestin pada 1967. - Agensi