X

Kindly register in order to view this article
!

Polis nafi Jho Low ditahan di China

Jho Low
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menafikan mesej tular yang mengatakan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Taek Low atau dikenali Jho Low ditahan di China hari ini.

Beliau berkata, setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih berusaha mengesan Jho Low yang dikehendaki untuk beberapa siasatan termasuk 1MDB.

"Kami sedang berusaha ke arah itu (menahan Jho Low) tetapi masih belum selesai. Jadi mesej itu tidak benar," katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Jho Low dibawa balik dalam masa terdekat

Hari ini satu mesej telah tular mengatakan Jhow Low di tahan oleh pasukan keselamatan China dan akan dibawa ke Malaysia oleh Tentera Udara Diraja Malaysia.

Abdul Hamid sebelum ini berkata, Jho Low dijangka ditahan dalam tempoh terdekat.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata, pihaknya yakin dapat membawa Jho Low pulang ke negara ini untuk dibicarakan ke muka keadilan.

“Insya-ALLAH bila saya kata saya yakin kami boleh bawa dia (Jho Low) balik dalam masa terdekat maka dalam masa terdekatlah,” katanya.

Pada 25 Januari lalu, PDRM dilaporkan sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes berhubung 1MDB iaitu tiga rakyat Malaysia, Tan Sri Low Hock Peng, 67; Goh Gaik Ewe, 67; dan Tan Kim Loong, 41; serta seorang wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani atau Natasha Mirpuri, 55.

Mengikut rekod, Hock Peng dan Gaik Ewe adalah ibu bapa kepada ahli perniagaan dalam buruan polis, Jho Low.

Pada 27 Jun tahun lalu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, dilaporkan berkata jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas berkaitan kes 1MDB bernilai RM900 juta hingga RM1.1 bilion.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!