Agong sebak imbau kenangan bersama Almarhum Ayahanda

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengalirkan air mata mengenangkan Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Ahmad Shah ketika bertitah pada Majlis Perasmian Masjid Temerloh Baru dan Berbuka Puasa Bersama Rakyat Jelata, hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengalirkan air mata mengenangkan Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Ahmad Shah ketika bertitah pada Majlis Perasmian Masjid Temerloh Baru dan Berbuka Puasa Bersama Rakyat Jelata, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TEMERLOH - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini sebak ketika mengimbau kenangan bersama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Al-Sultan Abdullah juga menghentikan beberapa kali titah ucapan baginda kerana kehilangan kata-kata, selain untuk mengesat air mata pada titah yang berkisar kepada jasa dan pengorbanan Almarhum Sultan Ahmad Shah sepanjang 45 tahun memerintah Pahang.

Baginda bertitah, Almarhum Ayahanda baginda begitu hebat dalam pelbagai bidang termasuk agama, pendidikan, kebajikan, ketenteraan dan sukan yang menjadi faktor mengapa baginda 'menolak' nama baginda dimasyhurkan pada masjid baharu di sini, yang dirasmikan baginda hari ini.

Titahnya, baginda mahukan nama masjid (masjid baharu Temerloh) itu dimasyhurkan sempena nama Almarhum walaupun pada peringkat awal kerajaan negeri mahukan masjid tersebut diberikan sempena namanya.

"Awalnya kerajaan negeri berhasrat memasyhurkan masjid ini dengan nama saya setelah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Namun saya berpandangan nama saya tidak sehebat dan segagah Almarhum.

"Setelah mengambil kira pengorbanan Almarhum terhadap negeri ini, biarlah ia menjadi kenangan abadi untuk memperingati pemerintahan Paduka Ayahanda selama 45 tahun," titah baginda pada majlis perasmian dan berbuka puasa di pekarangan masjid tersebut.

Turut berkenan berangkat, Pengerusi Jumaah Pemangku Raja,Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Ahli Jumaah,Tengku Puteri Seri Teja Pahang,Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Exco Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Peladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Tahir yang juga Ahli Parlimen Temerloh dan barisan kepimpinan negeri.

Dalam pada itu baginda berharap satu ruang galeri khas untuk Almarhum dapat dipaparkan di masjid itu.

"Saya juga berharap masjid ini dapat diimarahkan dengan pelbagai aktiviti sepanjang masa dan hidup.

"Sebenarnya saya telah berbincang dengan Almarhum Ayahanda supaya masjid ini dapat dirasmikan secara sidang video (video conference) namun ALLAH lebih mengetahui hasrat ini tidak tercapai," titahnya.

Masjid itu dibina dengan menelan kos kira-kira RM18.7 juta pada 2016 dan boleh memuatkan 3,000 jemaah pada satu-satu masa.