53 gembira terima cermin mata

Majlis penyampaian sumbangan bantuan cermin mata kepada murid-murid yang memerlukan semalam.
Majlis penyampaian sumbangan bantuan cermin mata kepada murid-murid yang memerlukan semalam.
A
A
A

KUANTAN - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 53 pelajar yang mengalami masalah penglihatan selepas menerima sumbangan cermin mata daripada Yayasan Pahang (YP) semalam.

Penerima terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Soi, SK Tanjung Lumpur, Maahad Bahasa Arab dan al-Quran (MABIQ) dan Rapha Children Home.

Ketua Pegawai Eksekutif YP, Datuk Mahmud Nawawi berkata, kesemua penerima adalah golongan asnaf di sekitar kawasan Tanjung Lumpur.

Menurutnya, pemberian kali pertama itu adalah sempena program Ahlan Ramadan sekali gus membolehkan penerima membaca buku dan al-Quran dengan jelas.

“Kita tidak mahu mereka tercicir daripada mendapat manfaat pendidikan.

“Diharap mereka menggunakan cermin mata dengan sebaiknya dan menjadi pencetus kepada semangat untuk berjaya,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Operasi YP, Abd Razak Abu Musa Saari pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Cermin Mata Kepada Murid-Murid Yang Memerlukan di Tanjung Lumpur di sini.

Selain cermin mata, YP turut memberi sumbangan duit raya RM50.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penerima, Sharil Azri Enche Suhaimi, 13, terharu dengan sumbangan itu yang selama ini memang dinantikan.

“Saya sudah lama berhasrat memakai cermin mata setelah pandangan mata kabur walaupun dari jarak beberapa meter menyebabkan pembelajaran di kelas terganggu," katanya.