Usaha sama telco antarabangsa perlu untuk peroleh teknologi

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika sidang media bersama wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari beliau ke Tokyo hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika sidang media bersama wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari beliau ke Tokyo hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Pakatan strategik dengan syarikat telekomunikasi utama antarabangsa peru bagi membolehkan negara memperoleh teknologi dan berada seiringnya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jika ini tidak dilakukan, Malaysia akan ketinggalan memandangkan teknologi bergerak dengan pantas, katanya.

"Kita perlukan rakan dalam bidang telekomunikasi. Bila ada usaha sama dengan syarikat asing, ini tidak bermakna kita menyerah peniagaan telekomunikasi kita kepada mereka.

"Kita berkerja besama mereka, memperoleh teknologi, tapi kita terus mengawal operasi telekom sendiri di Malaysia,” katanya pada sidang media hari ini pada akhir lawatan kerja tiga harinya ke Jepun.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan mengenai cadangan penggabungan Telenor Group Norway dan Axiata Group Bhd Malaysia.

Telenor, syarikat induk Digi.Com Bhd yang disenarai di Malaysia, dan Axiatabaru-baru ini mengumimkan mereka sedang berunding untuk menggabungan operasi di Asia Tenggara dan Asia Selatan dengan mewujudkan sebuah syarikat dengan 300 juta pelanggan di sembilan negara.

Telenor dijangkakan menguasai 56.5 peratus kepentingan dalam syarikat bergabung itu berdasarkan nilai ekuiti, manakala Axiata menguasai 43.5 peratus,

Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan bahawa tidak ada asas untuk bimbang terhadap penggunaan infrastruktur 5G Huawei di Malaysia, terutama membabitkan dakwaan penggunaan teknologi untuk aktiviti pengintipan oleh China.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata penggunaan khidmat syarikat telekomunikasi China itu perlu bagi memperkukuh hasrat Malaysia untuk peningkatan teknologi.

"Huawei, yang kita tahu merupakan syarikat berteknologi tinggi, terutama dalam telekomunikasi. Mereka banyak menjalankan penyelidikan dan sudah membangunkan telefon mudah alih canggih yang mencapai tahap 5G.

Produk mereka lebih baik berbanding yang lain, teutama jika dibandingkan dengan telefon mudah alin Amerika.

Mungkin orang di Amerika Syarikat takut diintip oleh Huawei. Tetapi di Malaysia, tidak ada apa-apa untuk diintip, pastinya bukan dari segi teknologi industri. Jadi kami mengalu-alukan mereka, kami bekerja dengan mereka, dan kami memperoleh teknologi mereka," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata kecurigaan negara Barat mungkin kerana ia menyembunyikan sesuatu, sedangkan Malaysia tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.

Semalam, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak terancam dengan tuduhan pengintipan yang didakwa dilakukan oleh Huawei, dan akan terus memanfaatkan teknologi itu seluas mungkin.

Ditanya sama ada negara kini mengambil sikap lebih lembut terhadap China seperti yang ditunjukkan oleh keputusannya mengenai Huawei, Dr Mahathir berkata ia adalah pendirian yang munasabah.

"Saya fikir kita munasabah, kita mahu bersahabat dengan semua negara di dunia, kita tidak mahu berperang sesama rakyat. Kita tahu kekuatan mereka dan tahu kelemahan kita," katanya.

Perdana Menteri yang disertai isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada 3.20 petang, selepas menamatkan lawatan kerja tiga hari ke Jepun. -Bernama