Tak sempat sambut ulang tahun perkahwinan

Abd Razak bersama isterinya Jemah Jamaludin, 76, menunjukkan gambar kenangan Norhamidah bersama suami dan anak-anaknya ketika Syawal tahun lalu.
Abd Razak bersama isterinya Jemah Jamaludin, 76, menunjukkan gambar kenangan Norhamidah bersama suami dan anak-anaknya ketika Syawal tahun lalu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Hasrat sepasang suami isteri mahu menyambut ulang tahun perkahwinan keempat tidak kesampaian apabila kenderaan dinaiki terlibat kemalangan sehingga mengorbankan dua nyawa di KM49.5 Jalan Johor Bahru-Mersing, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu mengorbankan suami, Ruslan, 29, dan anak tirinya, Puteri Aliya Soffieya Mohd Sukri, 8, selepas kereta Toyota Corona dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori.

Isteri mangsa, Norhamidah Abd Razak, 33, dan anaknya Puteri Arnita Ruslan, 2, mengalami cedera parah manakala seorang lagi anak Puteri Aliya Shafiqah Mohd Sukri, 13, cedera.

Bapa Norhamidah, Abd Razak Adon, 75, berkata, ketika kejadian berlaku, mereka sekeluarga dalam perjalanan ke Kota Tinggi namun menaiki kenderaan berbeza untuk berbuka puasa bersama-sama.

"Saya bersama isteri dan seorang anak menaiki Proton Wira berada kira-kira 50 meter di hadapan kenderaan mereka. Saya dengar bunyi dentuman sebelum anak beritahu yang kenderaan dinaiki Hamidah sekeluarga di belakang kami kemalangan.

"Kami berhenti di tepi jalan dan terus ke kenderaan mereka. Masa tu pakcik lihat menantu sudah tidak bernyawa, dia tersepit di bahagian tempat pemandu.

"Seorang cucu pakcik turut meninggal di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya dekat Kampung Sri Gading, Tanjung Sedili, hari ini.

Tambahnya, kediaman Norhamidah terletak di belakang rumahnya dan setiap tahun menantunya pasti mengajak dia dan isteri berbuka puasa di Kota Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tujuan mereka ke bandar juga kerana pasangan suami isteri itu mahu meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan dan ulang tahun kelahiran Ruslan yang jatuh pada hari kejadian.

Ruslan (dua dari kanan) dan anak tirinya Puteri Aliya Soffieya (kiri) yang maut dalam nahas di KM49.5 Jalan Johor Bahru-Mersing, petang semalam.
Ruslan (dua dari kanan) dan anak tirinya Puteri Aliya Soffieya (kiri) yang maut dalam nahas di KM49.5 Jalan Johor Bahru-Mersing, petang semalam.

"Ruslan merupakan menantu yang sukar ditemui, susah dapat jumpa lelaki macam dia pada masa sekarang ini.

"Dia tak banyak cakap dan jenis yang tak kisah. Petang itu dia yang mengajak saya berbuka bersama-sama di Kota Tinggi.

"Sementara Puteri Aliya Soffieya, cucu saya itu sepatutnya menjalani pembedahan melibatkan jantungnya selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

"Namun tak sangka dia akan pergi dulu tanpa sempat dibedah," katanya.

Abd Razak turut memaklukan Norhamidah dan cucunya Puteri Arnita yang parah kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah manakala Puteri Aliya Shafiqah dirawat di Hospital Kota Tinggi.

Terdahulu, jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Tanah Putih, Tanjung Sedili, hari ini.