Warga emas maut dihempap pokok

Kerja pembersihan sedang dijalankan di lokasi kejadian bagi membolehkan kenderaan bergerak seperti sedia kala.
Kerja pembersihan sedang dijalankan di lokasi kejadian bagi membolehkan kenderaan bergerak seperti sedia kala.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dihempap sebatang pokok yang tumbang di Jalan Tun Dr Awang di sini, petang tadi.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 65 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera di beberapa bahagian badannya selepas terjatuh dari motosikal akibat dihempap pokok berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, selain mangsa, sebuah kereta turut terkena pokok tersebut namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kejadian berlaku pada jam 4 petang tadi, berdekatan dengan sebuah kem askar. Ketika motosikal mangsa dan sebuah kereta melalui jalan tersebut, tiba-tiba sebatang pokok tumbang lalu terkena kedua-dua kenderaan berkenaan.

"Mangsa yang merupakan seorang peniaga terjatuh dari motosikalnya manakala pemandu kereta yang berusia 58 tahun tidak mengalami kecederaan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba selepas dimaklumkan kejadian itu," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, lesen kenderaan bermotor bagi kedua-dua mangsa masih sah dan mereka juga mempunyai lesen memandu.

"Tempat kejadian telah dilawati yang mana ia merupakan jalan dua hala dan terdapat garisan berkembar pemisah jalan berwarna putih.

"Keadaan jalan baik dan cuaca juga baik. Bedah siasat dijalankan pada jam 10 malam tadi di Hospital Balik Pulau," katanya.

Artikel Berkaitan: