Putra hanya alternatif, bukan punca perpecahan orang Melayu

Hamidah Osman
Hamidah Osman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak akan sama sekali menggugat atau menjadi punca perpecahan orang Melayu sebagaimana dibimbangi segelintir pemimpin.

Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman berkata, parti itu ditubuhkan atas permintaan ramai agar diwujudkan pentas alternatif kepada kaum Melayu yang ingin memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Tetapi, mereka tidak mahu menyertai parti UMNO atau Pas dan pada masa sama tidak mahu bersama dengan parti Melayu yang bergabung dengan DAP.

“Bagaimanapun, kita amat berterima kasih dan mengambil berat atas komen serta pandangan daripada pemimpin parti politik Melayu mengenai penubuhan Putra.

“Terkini adalah komen dan pandangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyuarakan kebimbangannya dan khuatir Melayu akan berpecah dengan wujudnya parti Putra,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri semalam, menyatakan UMNO senada dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, menyifatkan penubuhan Putra hanya akan memecahbelahkan lagi perpaduan orang Melayu di negara ini.

Beliau yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, penubuhan Putra itu bagaimanapun tidak boleh dihalang kerana Malaysia mengamalkan kebebasan dan demokrasi dalam politik.

Mengulas lanjut, Hamidah menyeru kepada semua agar bersama mempertahankan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tidak perlulah mereka memandang rendah antara satu sama lain, sebaliknya saling lengkap melengkapkan demi sebuah perjuangan.

ARTIKEL BERKAITAN: PM 'seronok' makin banyak parti Melayu

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir tindakan beberapa individu menubuhkan parti politik baharu yang berteraskan orang Melayu dan Bumiputera.

Dr Mahathir secara sinis berkata, lebih banyak parti politik ditubuhkan adalah lebih baik bagi membuktikan tiada satu pun parti orang Melayu memiliki majoriti yang besar di negara ini.

“Kalau kita tubuh 100 parti itu cukup baik, dengan itu orang Melayu akan dibahagikan kepada 100 dan tiada satu pun parti Melayu yang besar, sebab itu saya menggalakkan lebih banyak parti Melayu.

“Kita sengaja ingin menentukan bahawa negara ini yang memiliki majoriti 60 peratus Melayu tapi Melayu ini berpecah kepada empat, tidak apa juga, ini berpecah sampai 100, OK lah kalau itu yang orang Melayu hendak,” katanya.