Sidang Kemuncak OIC kukuhkan solidariti Islam

Sheikh Dr. Abdul Rahman
Sheikh Dr. Abdul Rahman
A
A
A

MAKKAH – Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz Al-Sudais yakin Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan berlangsung di sini pada hari Jumaat 31 Mei ini akan mengukuhkan solidariti umat Islam.

Menurut Sheikh Abdul Rahman dalam satu temu bual dengan akhbar Okaz di sini, kebijaksanaan Penjaga Dua Masjid Suci Islam, Raja Salman Abdul Aziz yang disokong kuat oleh anakandanya, Putera Mahkota Mohamed Salman akan merealisasikan dengan jayanya sidang kemuncak tersebut.

Dalam wawancara itu, beliau meminta pengamal media dari negara-negara Islam supaya menegakkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai ideal profesion mereka dengan menentang kempen jahat sesetengah pihak terhadap Islam.

Arab Saudi katanya, mengamalkan nilai-nilai Islam yang moderat, kesederhanaan dan kehidupan bersama yang aman dengan usaha yang bersungguh-sungguh direncanakan bagi membina perkhidmatan haji, umrah dan ziarah di tanah suci Makkah dan Madinah.

Beliau yang juga Presiden Bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menegaskan bahawa Raja Arab Saudi telah mengarahkan Putera Mahkota Mohamed menggunakan segala sumber material untuk menyiapkan projek-projek di kota suci Makkah dan Madinah.

Putera Salman dalam kunjungannya ke Masjidil Haram di Makkah baru-baru ini telah memberi impak besar dan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek tersebut, kata Sheikh Abdul Rahman, 59, yang sudah 35 tahun menjadi imam dan khatib di Masjidil Haram.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan hasil perancangan tersebut, Sheikh Abdul Rahman berkata: “Sebanyak 140 inisiatif dalam perancangan operasi dikemukakan sempena bulan suci Ramadan di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.”

Malah, katanya, cara-cara kerja kreatif dan inovatif yang tidak lagi bersandarkan kaedah tradisional stereotaip telah diperkenalkan seiring dengan Wawasan 2030 Arab Saudi untuk pembangunan Makkah dan Madinah.

Artikel Berkaitan: