Harimau Malaya janji aksi terbaik!

Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe ketika sidang media sesi latihan di Stadium Universiti Malaya Arena, malam tadi. - Foto Bernama
Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe ketika sidang media sesi latihan di Stadium Universiti Malaya Arena, malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

PERSEMBAHAN berkualiti tinggi adalah keutamaan skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang Timor-Leste dalam aksi ‘playoff’ pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada 7 dan 11 Jun ini.

Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata tanpa mengambil kira siapa pasukan lawan, skuad bimbingannya bersedia menyajikan persembahan terbaik untuk meraih keputusan positif.

Menurut pengendali berusia 51 tahun yang membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018, keutamaan itu menjadi pegangan setiap pemain di dalam skuad kebangsaan ketika ini.

“Sudah tentu apa sahaja pasukan yang kita akan bermain, kita perlu lebih berikan perhatian dan risau pasal pasukan sendiri. Kita mahu fokus tentang kekuatan dan cara kita bermain dan aksi ‘playoff’ nanti cukup penting untuk skuad kebangsaan.

“Semua pemain tahu peranan sendiri dan sedia beri komitmen tinggi selain telah berjanji akan memberikan persembahan terbaik. Mereka juga tahu kita tidak boleh pandang rendah terhadap Timor-Leste,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan.

Sesi latihan sulung yang bermula pada sebelah malam di Universiti Malaya (UM) itu menyaksikan dua pemain gagal melaporkan diri sementara pertahanan negara, Muhammad Syahmi Safari terpaksa dihantar pulang akibat kecederaan.

Dua pemain itu adalah penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha dan rakan sepasukan Mohamadou Sumareh.

“Mat Yo (Norshahrul) dan Sumareh kedua-dua ada masalah peribadi untuk diselesaikan dan mereka akan sertai sesi latihan secepat mungkin. Syahmi pula doktor sahkan dia masih perlukan rehat jadi kita hantar dia semula ke Selangor,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Malaysia tewas 0-1 kepada Singapura sebelum mengatasi Afghantisan 2-1 pada kejohanan Piala Airmarine 2019.

Skuad Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-168 dunia akan menguji kekuatan terlebih dahulu dengan menentang pasukan di ranking ke-161, Nepal dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini. - Bernama