Majikan disaran wujud formula untuk pekerja berkemahiran setia

M Kula Segaran
M Kula Segaran
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan disaran wujudkan formula perjanjian dengan pekerja supaya mereka tidak bertindak 'lari’ mencari majikan baru selepas mendapat latihan kemahiran, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Beliau berkata majikan cenderung mengambil pekerja asing kerana terdapat kerisauan warga tempatan akan berhenti sebaik sahaja diberi kemahiran.

"Majikan harus mendorong pekerja mereka mendapat kemahiran tetapi terdapat kerisauan, mereka akan cabut selepas mendapat kemahiran.

“Amat menyedihkan bagi majikan apabila pekerja yang telah diberi kemahiran dan kemudian mereka cabut (lari), dan ini akan menjejaskan perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC), di sini hari ini.

Katanya formula kerajaan yang menaja pelajar mendapat pengajian luar negara boleh digunapakai pihak majikan untuk memastikan pekerja mereka 'setia' untuk terus berkhidmat.

Kula Segaran berkata dalam mesyuarat bersama exco sumber manusia negeri, beliau turut menekankan kepentingan memacu dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kemahiran pelajar serta tenaga kerja sedia ada.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan tenaga mahir kepada 35 peratus menjelang tahun 2020 berbanding sekarang iaitu pada 28 peratus," katanya.

Beliau seterusnya mencadangkan agar Jabatan Tenaga Manusia membuka pusat latihan kemahiran selepas pukul 5.30 petang bagi memenuhi keperluan melatih tenaga kerja yang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya sekiranya cadangan itu dilaksanakan, ia mampu meningkatkan gaji sedia ada sehingga 10-20 peratus. -Bernama