JKM NS kaji semula 22,430 penerima bantuan

Nicole Tan
Nicole Tan
A
A
A
SEREMBAN - Sebanyak 22,430 penerima bantuan dikaji semula oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan bagi memastikan mereka yang layak sahaja menerimanya.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 15,823 kes sudah selesai dijalankan siasatan dan dipanggil untuk ditemuduga.

“Terdapat beberapa faktor bantuan JKM ditamatkan termasuk kerana berpindah, meninggal dunia dan pendapatan melebihi pendapatan garis kemiskinan (PGK) RM930 sebulan.

“Selain itu, tidak dapat dihubungi, tidak layak (anak mencapai usia 18 tahun ke atas) serta tukar skim bantuan,” katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dun Negeri Sembilan ke-14, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mary Josephine Prittam Singh (DAP-Rahang).

Adun Bukit Kepayang itu berkata, ketika ini pelbagai usaha dilakukan JKM untuk memaklumkan kepada penerima bantuan berkenaan kajian semula itu termasuk menghantar surat.

Bagaimanapun katanya, bagi mempercepatkan proses kajian semula, JKM menggunakan kaedah lain supaya urusan dapat disampaikan dengan cepat dan tepat kepada penerima.

“Kaedah yang turut dijalankan JKM termasuk pemakluman secara lisan kepada penerima, melalui penilaian Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), panggilan telefon dan lawatan ke rumah,” katanya.

Nicole Tan berkata, ketika ini terdapat seramai 26,168 penerima bantuan JKM di negeri ini, namun mengikut rekod JKM bermula Januari sehingga Oktober lalu, sebanyak 3,532 permohonan gagal dan tidak layak.
Artikel Berkaitan: