Harap kerajaan beri 'duit raya' kepada peneroka

Roslan Md Isa
Roslan Md Isa
A
A
A

BENTONG - Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) kecewa dengan pengumuman kerajaan yang tidak berhasrat memberikan ‘duit raya’ kepada peneroka dengan alasan kedudukan kewangan negara kurang memberangsangkan.

Presidennya, Roslan Md Isa berkata, pengumuman yang dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengundang resah buat 112,635 peneroka yang sering mendapat manfaat dari kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, rata-rata peneroka kecewa dengan perkhabaran tersebut kerana selama ini telah menjadi amalan biasa oleh Felda memberi duit raya kepada peneroka yang ladangnya diurus oleh Felda.

"Kerajaan dikatakan sedang berusaha untuk memberikan insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada peneroka sebelum tiba Aidilfitri.

"Adapun bayaran insentif bulanan (sara hidup) yang dinikmati peneroka selepas tanam semula bukanlah percuma, wang tersebut bukan bentuk 'one off' tetapi perlu dibayar semula oleh peneroka," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Tambahnya, dia menerima banyak maklum balas daripada peneroka sehingga kepada Generasi Baharu Felda selaku pentadbir, apabila Azmin membayangkan tiada duit raya diperuntukkan tahun ini.

Dalam pada itu, Roslan berkata, pemberian duit raya itu sangat besar ertinya kepada peneroka sebagai persiapan menyambut Aidilfitri, apatah lagi harga komoditi yang tidak stabil dan kos sara hidup semakin tinggi.

Menurutnya, walaupun Generasi memahami kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan, namun mengambil kira jumlah keseluruhan peruntukan seperti tahun tahun lalu, ia seharusnya bukan isu besar demi menjaga kepentingan peneroka yang memberi sumbangan besar kepada produktiviti negara.

Artikel Berkaitan:

"Duit raya ini ibarat kakitangan awam yang mendapat bonus semasa hari raya yang sentiasa dinanti-nantikan keluarga peneroka Felda menjelang Aidilfitri.

“Saya merayu kepada kerajaan supaya mempertimbangkan semula keputusan kemungkinan tidak memberikan duit raya," katanya.