KPKT akan perkenal sistem pangkalan data RMM

Raja Bahrin (dua kiri) berbual mesra bersama ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang hadir pada program Iftar PH Dungun Bersama Komuniti di PSMZA Dungun, hari ini.
A
A

DUNGUN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan satu sistem pangkalan data untuk mengenal pasti rakyat yang layak menerima rumah mampu milik (RMM).

Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, sistem data terperinci yang menyeluruh itu dijangka akan digunakan pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan.

Menurutnya, sistem pangkalan data itu dibangunkan dengan ciri-ciri keselamatan agar tidak membuka peluang berlakunya salah guna kuasa dalam membantu mereka yang tidak layak untuk memiliki RMM.

Katanya, sistem pangkalan data itu juga akan mengatasi masalah penggunaan orang tengah atau 'kabel' dalam permohonan projek perumahan kerajaan hingga ada yang menerima RMM lebih dari sekali.

"Kita melihat sistem ini amat efisien dan telus serta dapat mengenal pasti mereka yang layak untuk ditawarkan rumah terbabit.

"Sistem ini akan memudahkan pemohon kerana boleh mendaftar secara atas talian atau online jadi maklumat mereka juga disimpan dalam sistem pangkalan data itu dan mudah untuk kita rujuk," katanya

Raja Bahrin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu berkata demikian selepas merasmikan Iftar PH Dungun Bersama Komuniti di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun hari ini.

Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata, inisiatif itu dapat menyelesaikan masalah yang sekian lama membelenggu rakyat kerana ramai antara mereka kecewa terpaksa menunggu puluhan tahun untuk memiliki RMM kerana rumah itu diberikan kepada mereka yang tidak layak atau telah memiliki rumah sebelum ini.

"Sebab itu kita bangunkan sistem pangkalan data ini bagi mengelak perkara sebegitu berlaku kerana hasrat kerajaan hari ini mahu memastikan rumah yang dibina dimiliki oleh golongan sasaran iaitu golongan miskin dan berpendapatan rendah.

"Kita sekarang dalam proses mengumpul data-data itu dan kita juga minta agensi tempatan dan kerajaan negeri turut memberi kerjasama dengan menyerahkan data pemohon atau penerima sebelum ini.

"Bayangkan walaupun sudah 60 tahun, negara kita masih tiada sistem pangkalan data, itu pelik kan dan kalau kita bina 10 juta unit rumah pun ia tidak akan cukup," katanya.

Sementara itu, Raja Bahrin berkata, kerajaan kini dalam proses mencantumkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di bawah satu payung iaitu badan induk.

Katanya, penggabungan itu akan memudahkan pengagihan rumah agar tidak berlaku pertindihan permohonan dan ia menyasarkan semua golongan rakyat termasuk penjawat awam.

Kerajaan PH menyasarkan untuk membina satu juta unit RMM di negara ini dalam tempoh 10 tahun bermula selepas memenangi PRU14 pada Mei tahun lalu.