Siasatan tembak monyet hampir lengkap

Razarudin Husain
Razarudin Husain
A
A
A

IPOH - Siasatan terhadap kes tembak monyet membabitkan seorang peniaga dan anak lelakinya berusia 18 tahun, hampir lengkap.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya dijangka dapat melengkapkan siasatan dalam tempoh terdekat sebelum merujuknya ke pihak timbalan pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.

"Kita berpuas hati dengan perkembangan siasatan dan kedua-dua mereka memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu siasatan polis.

"Mereka akan diberi jaminan polis sehingga mendapat arahan tuduh daripada timbalan pendakwaraya," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menjumpai semula sangkar monyet di dalam sungai hasil bantuan Polis Marin.

Katanya, sangkar berkenaan merupakan satu perangkap haiwan dan monyet yang ditembak merupakan seekor monyet liar yang terjerat masuk ke perangkap sangkar itu.

"Boleh dikatakan motif kejadian adalah untuk menghapus monyet liar tersebut, namun suspek menggunakan pendekatan yang salah dalam tindakannya.

"Sehingga kini, polis masih belum menjumpai bangkai monyet terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dua beranak berkenaan ditahan di rumah mereka di Taman Kenangan, Sitiawan sekitar jam 9.20 malam, Rabu lalu.

Ia susulan sebuah rakaman tular di media sosial memaparkan tindakan seorang lelaki meminta seekor monyet yang dikurung di dalam sangkar menyebut perkataan ‘baby sayang’ sambil mengacu pistol.

Rakaman video berdurasi 20 saat itu juga menunjukkan lelaki terbabit melepaskan satu das tembakan yang mengenai kepala haiwan berkenaan selepas kiraan tiga.